Perutusan Tahun Baharu 2021

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2021

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Warga FSSK yang saya hormati,

Sudah seminggu kita melangkah ke tahun baharu 2021 dan saya berharap dengan kehadiran tahun baharu ini ianya akan menjadi lebih bermakna sebagai pendorong semangat dan azam baru kepada seluruh warga FSSK, termasuklah pelajar sekalian. Semoga kita bersama-sama dapat terus berusaha meningkatkan kualti kehidupan kita sebagai satu masyarakat yang bersatu dan juga mendorong diri untuk mengecapi kejayaan yang lebih tinggi demi terus mengharumkan nama FSSK dan UKM yang kita sayangi ini.

Saya amat yakin untuk tahun baharu ini kejayaan yang lebih berimpak tinggi akan dapat FSSK capai melalui semangat KAMII dan rasa cinta kepada fakulti dan UKM yang tertanam dalam naluri kita sebagai seorang warga FSSK. Mari lah bersama-sama kita mengambil iktibar dari pengalaman memerangi penularan pandemik, zahir sebagai kesan tahun 2020, yang telah mematangkan kita semua, dan juga telah membawa anjakan drastik kepada cara kita bekerja dalam kehidupan norma baharu.

Semestinya pencapaian FSSK bagi tahun 2020 menjadi pengukur dan bukti bahawa FSSK cekal menghadapi dugaan dan boleh mengatasi segala cabaran yang dilontarkan sekiranya kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha mencari jalan keluar dari terbelenggu oleh rintangan dan kekangan keadaan, insyallah. Sehubungan itu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli FSSK yang telah mencapai sasaran penerbitan dan perolehan dana penyelidikan bagi tahun 2020. Sememangnya bagi tahun 2020 FSSK telah merekodkan hasil penerbitan yang amat baik bagi kategori artikel jurnal berimpak (Q1-Q4), artikel berindeks (WOS,SCOPUS, ERA).

Bagi penyelidikan pula, melalui kegigihan kumpulan-kumpulan penyelidikan, FSSK telah berjaya memperoleh sejumlah RM 910,468.00 geran penyelidikan antarabangsa dan RM 4,069,095.00 dana geran kebangsaan. Yang lebih signifikan adalah agensi yang telah memberi pengiktirafan kepakaran kepada para penyelidik FSSK merupakan agensi antarabangsa yang signifikan iaitu UNICEF, UNESCO, Kim Sejong Institute Foundation, Embassy of France, SNAL, Institute of Criminological Research Education and Services (ICRES), Chennai, India dan New Materials Institute, University of Georgia.

Syabas kepada Pusat kajian MENTION, Pusat kajian PSITRA dan Pusat kajian SEEDS yang mendahului dalam sasaran KPI penerbitan dan penyelidikan. Terima kasih kerana telah membantu melonjakkan taraf dan visibiliti FSSK di persada kebangsaan dan antarabangsa melalui penerbitan dan penyelidikan. Kecemerlangan ahli akademik iaitu Che Abdullah Che Ya sebagai penerima anugerah Sastera  Negeri Kelantan baru-baru ini dan  Elvina Carmella Bahanang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan kerana telah terpilih menjadi Felo Perdana Kementerian Belia & Sukan bagi tahun 2020  amat membanggakan fakulti. Saya juga turut berbangga dengan usaha dan inisiatif Program Kerja Sosial dalam mengetuai Projek Kutipan Sumbangan Amal FSSK untuk sumbangan 5000 unit  PPE kepada  Frontliners COVID-19 di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan.

Tahun 2021 telah bermula dengan amat istimewa buat FSSK atas pelantikan YBhg Profesor Dato' Dr. Mohd Ekhwan Toriman sebagai Naib Canselor UKM ke 12. Beliau merupakan warga FSSK yang amat kita banggakan sebagai seorang mantan Dekan FSSK ke 5 dan alumnus FSKK 1992.

Marilah bersama-sama kita memberi sokongan dan kerjasama padu kepada YBhg Prof. Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman bagi memudahkan dan meringankan beban beliau dalam misi membawa UKM ke tahap yang lebih cemerlang. Semoga dengan azam baharu tahun 2021 FSSK dapat mengecapi budaya akademia berimpak tinggi yang dibentuk atas nilai insan yang berbudiman, berakhlak mulia, berilmu tinggi, dan bersemangat dinamik.

InshaAllah, semoga diperkenankan. Amin.

PENCAPAIAN TERBAIK FSSK 2020

RM 910,468.00

Geran Penyelidikan Antarabangsa

RM 4,069,095.00

Geran Penyelidikan Kebangsaan

Kerjasama Antarabangsa

SUMBANGAN AMAL PPE COVID19