Bimbingan Pelajar

Pelajar digalakkan untuk meneroka dan mencipta ilmu atau sesuatu yang baru melalui penyelidikan. Justeru Program Pendidikan PERMATApintar Negara telah memperkenalkan program Mentor Penyelidikan dalam pelbagai bidang. Pelajar dimestikan menjalankan penyelidikan bersama mentor selama satu tahun. Hasil daripada penyelidikan tersebut pelajar perlu menulis laporan untuk pembentangan dalam atau luar negara.

Program Mentor Penyelidikan ini memperkenalkan kepada pelajar tentang cara-cara menjalankan kajian dalam bidang sains dan teknologi. Pelajar akan didedahkan dengan cara pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, hipotesis kajian, tinjauan literatur, metodologi kajian, pemilihan instrument dan kaedah penganalisaan data. Pelajar juga akan dibimbing untuk menyediakan cadangan kajian, dan menulis laporan kajian dan seterusnya menulis makalah dari penyelidikan yang dijalankan untuk tujuan pembentangan di seminar dan penerbitan. Taburan penilaian bagi Program Mentor Penyelidikan ialah Cadangan Penilaian (30%), Hasil Penyelidikan/ Laporan (20%), Pembentangan dalam seminar (20%) dan Penerbitan – kompilasi buku khas/ jurnal (30%).

Setelah mengikuti program ini, pelajar akan berkebolehan untuk; a) Menguasai konsep asas, prinsip-prinsip dan proses dalam penyelidikan, dan dalam pelaksanaan projek. b) Menguasai kemahiran pencarian maklumat untuk tinjauan literatur. c) Berkomunikasi secara berkesan, kritis dan analitis dalam penyediaan laporan. d) Berkebolehan menyesuaikan pelbagai proses dan strategi penyelidikan dengan permasalahan yang berbeza. e) Berkeupayaan merancang proses serta prosedur untuk menganalisis data dan f) Berpengetahuan dan berkemahiran menggunakan asas statistic yang bersesuaian untuk tujuan penganalisaan data.

Bagi semester 2011/2012, seramai 113 pelajar Tahap 2 Program Pendidikan PERMATApintar mengikuti program ini. Dengan pembahagian sebanyak 61 kumpulan mengikut bidang kecenderungan masing-masing, mereka telah diberi bimbingan dan tunjuk ajar dari mentor-mentor yang mempunyai pengalaman yang luas dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang mereka. Antara mentor yang terlibat ialah Y. Bhg Prof. Dato’ Dr. Ghazali Mat Nor (Fakulti Pergigian UKM), Y. Bhg Prof. Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (Institut Sains Angkasa), Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Lalily bin Din (Pengarah Pejabat Perhubungan Alumni) dan Prof. Dato’ Dr. Burhanuddin Yeop Majlis (Institut Kejuruteraan Mikro dan Nano Teknologi (IMEN)).

Pada 29 September hingga 1 Oktober 2012, Future Scientist Conference 2012telah diadakan di Kompleks Pusat PERMATApintar Negara untuk member peluang kepada semua kumpulan penyelidikan membentangkan hasil penyelidikan. Penyertaan bukan sahaja di kalangan pelajar Program Pendidikan PERMATApintar, tetapi beberapa sekolah yang lain seperti MRSM Kuala Klawang, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), MRSM Tun Ghafar Baba dan MRSM Langkawi. Para pemenang diberi Hadiah Tempat Pertama, Kedua, Ketiga dan Pingat Emas (Gold), Perak (Silver) dan Gangsa (Bronze) berdasarkan penilaian penyelidikan masing-masing. Antara pemenang penyelidikan ialah:

Tempat Pertama:

Mentor: Prof Roslan bin Abdul Shukor (Pusat Pengajian Sains Gunaan, FST)

Mentee: Ooi Tze Ching

Tajuk : Effect of Cobalt Nanoparticles on Superconductivity of YBa2Cu3O7- ᵟ (YBCO)

 

Tempat Kedua:

Mentor: Prof Dr Sharaf Ibrahim (Jabatan Ortopedik & Traumatologi, Fakulti Perubatan)

Mentee: Ahmad Faiz Bin Mohd Hanaffi dan Mohamad Zahid Bin Mat Zin

Tajuk : Club Food Video

 

Tempat Ketiga: MRSM Kuala Klawang

Pada tahun 2013, berdasarkan kecenderungan bidang setiap pelajar Tahap 1 Sesi 2012, sebanyak 50 kumpulan mentor penyelidikan akan diteruskan dengan agenda yang sama.