Sekilas Pandang

Dalam usaha memenuhi keperluan pembelajaran pelajar pintar dan berbakat, kerajaan Malaysia telah membangunkan satu program khusus dikenali sebagai Program PERMATApintar®Negara . Program ini telah diilhamkan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia, yang mempunyai minat yang mendalam untuk membantu pelajar-pelajar pintar dan berbakat mengembangkan potensi mereka. Beliau merupakan salah seorang pendokong utama Program PERMATApintar® Negara sejak dari mula idea ini diketengahkan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi mandat untuk membangun, melaksana dan memantau program ini yang telah dilancarkan pada 3 April 2009. YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor juga merupakan penaung Program PERMATApintar® Negara UKM selain menjadi pengerusi Yayasan PERMATA.

Hari ini Pusat PERMATApintar® Negara, UKM yang kini dikenali sebagai Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka. Usaha ini perlu dijalankan kerana pelajar Pintar dan Berbakat ini adalah aset negara yang sangat berharga. Kegagalan mengenalpasti pelajar-pelajar ini boleh menyebabkan negara kehilangan pemikir dan tenaga kerja yang sangat berharga, samada kerana mereka tercicir dari arus pendidikan, atau mereka berhijrah ke negara luar yang menawarkan ganjaran serta peluang pendidikan yang lebih baik.

Pusat ini mempunyai empat (4) program utama iaitu Program Pencarian dan Pengurusan Bakat, Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS), Kolej GENIUS@Pintar UKM, dan Program ASASIpintar®  UKM (Program Pra- Universiti).