Struktur Program Kolej GENIUS@Pintar, UKM
Kurikulum yang diamalkan di kolej ini adalah berteraskan kurikulum kebangsaan dan diperkayakan dengan nilai tambah bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid pintar dan berbakat. Program ini dijalankan secara dwibahasa (dual Language). Kursus-kursus berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Advanced Placement (AP) dan penyelidikan dikendalikan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kurikulum Kolej GENIUS@Pintar, UKM dimampatkan (compacting) supaya lebih banyak pengetahuan dibina oleh murid dalam masa yang lebih singkat. Ini dilakukan kerana murid pintar dan berbakat mempunyai kebolehan untuk memahami maklumat dan membina pengetahuan baru dalam masa yang singkat. Mereka juga boleh memahami banyak perkara dengan meneroka ilmu yang berkaitan secara sendiri. Justeru, pengajar hanya membimbing dan memudahcara murid untuk setiap tajuk atau sub-tajuk kerana mereka boleh melakukan pembelajaran kendiri dengan berkesan. Murid yang menunjukkan prestasi yang baik dalam penilaian akademik dibenarkan menjalani program pecutan pembelajaran (Accelerated Learning Program) yang melibatkan pecutan kurikulum (Curriculum Acceleration). Program yang dilaksanakan ini, diharap dapat membina personaliti holistik murid pintar dan berbakat menerusi persekitaran pembelajaran yang menyokong Pemikiran Aras Tinggi (HOTs), afektif dan psikomotor yang tinggi mengikut tahap perkembangan murid secara realistik.
Pelaksanaan kurikulum Kolej GENIUS@Pintar, UKM akan membantu pengembangan potensi setiap murid secara holistik ke arah mewujudkan modal insan pintar negara yang memiliki kepintaran intelektual, kestabilan emosi, kecekapan sosial, kemantapan rohani, kecergasan jasmani, keterampilan kepimpinan dan keteguhan prinsip kewarganegaraan. Kerjasama ibubapa dalam membentuk jatidiri murid/anak agar lebih berdisiplin, jujur dan bertanggungjawab adalah amat dituntut dengan mematuhi polisi dan peraturan akademik dan bukan akademik. Ibubapa perlu memberi kepercayaan/ keyakinan kepada Kolej GENIUS@Pintar dalam proses pengembangan potensi murid/anak. Murid akan mengikuti kurikulum kebangsaan dan pada waktu yang sama diberi peluang untuk mempelajari kursus-kursus lain yang lebih mencabar. Sehubungan itu, setiap murid disediakan perancangan pembelajaran khusus sesuai dengan keperluan pembelajarannya. Mereka juga berpeluang mempelajari kursus yang ditawarkan di peringkat universiti sekiranya berkemampuan mengikuti pembelajaran tersebut. Pendekatan ini membolehkan para murid mengikuti pembelajaran yang lebih mencabar, dan boleh melengkapkan pengajiannya dalam jangka masa yang lebih pendek.
Kaedah pembelajaran yang dijalankan di Kolej GENIUS@Pintar, UKM adalah pembelajaran berpusatkan murid dengan pengajar sebagai pemimbing dan pemudahcara. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah seperti kaedah pembelajaran penerokaan dan penemuan; kaedah pembelajaran koperatif dan berpusatkan murid; perbincangan kumpulan besar dan kumpulan kecil; amali dimakmal dan lapangan; projek penyelidikan bersama kumpulan pakar penyelidikan UKM; laporan penyelidikan, pembinaan folio, program mobiliti dan aktiviti pembinaan jati diri berbentuk modular. Kolej GENIUS@Pintar, UKM meletakkan 5 komponen utama yang dinilai sebagai PNGK Bersepadu (Integrated CGPA) bagi membolehkan murid mendapat “GENIUS@Pintar Junior Certificate” pada Asas 3 dan “GENIUS@Pintar High School Diploma” pada Tahap 2).
Please wait while flipbook is loading. For more related info, FAQs and issues please refer to DearFlip WordPress Flipbook Plugin Help documentation.