Pelajar MBA UKM-GSB Bangunkan Sistem Pemantauan Pokok Bakau Secara Masa Nyata di Kuala Selangor

Pelajar MBA UKM-GSB Bangunkan Sistem Pemantauan Pokok Bakau Secara Masa Nyata di Kuala Selangor

Sekumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah berjaya membangunkan Sistem Pemantauan Pokok Bakau Secara Masa Nyata (RTMMS) di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) — satu inisiatif perintis yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar.

Projek yang diketuai oleh Ir. Mohamad Affan Mohamoud ini dijalankan oleh kumpulan Mangrove Mavericks, bermula sebagai projek tanggungjawab sosial (SR) dan kini berkembang menjadi usaha lestari dalam melindungi ekosistem bakau di Malaysia yang semakin terancam.

RTMMS dilengkapi dengan sembilan unit penderia (sensor) yang memantau pelbagai parameter alam sekitar seperti ketinggian, suhu, kelembapan, saliniti, intensiti cahaya (Lux), NPK dan tahap pH secara masa nyata. Data yang diperoleh membolehkan penyelidik membuat analisis segera serta melaksanakan intervensi tepat pada masanya bagi memastikan kelangsungan habitat bakau.

“Peranti ini direka untuk beroperasi dalam keadaan lasak bagi menjamin prestasi dan ketepatan data yang konsisten. Sistem ini turut menggalakkan penglibatan komuniti setempat melalui akses terbuka kepada maklumat yang dikumpul,” ujar Ir. Mohamad Affan.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang tahun 2030 serta mencerminkan inovasi anak watan untuk Malaysia dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Kejayaan projek ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik termasuk Kerajaan Negeri Selangor, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Taman Alam Kuala Selangor (KSNP), United Nations Sustainable Development Solutions Network Asia (UNSDSN Asia), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM), serta beberapa pertubuhan alam sekitar lain.

Baca lanjut di sini:https://kitareporters.com/menara/jneg5QD3bw