Kebolehan Mendengar – Hadiah Teristimewa

Oleh Raymond Dong (Ayah) – 

Dua hari selepas Natalie dilahirkan, beliau tidak lulus ujian saringan pendengaran yang dijalankan di hospital. Selepas beberapa penilaian, Natalie disahkan mempunyai masalah pendengaran tahap sangat teruk di kedua belah telinga. Sebagai ibu bapa, kami berasa sangat sedih dan buntu; kami tidak tahu apa yang perlu kami buat pada masa itu dan kami runsing memikirkan masa depan Natalie.
Kami bersyukur apabila kami dirujuk ke pasukan implan koklea Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan UKM (PPUKM). Natalie melakukan pelbagai ujian dan penilaian berkaitan dengan pendengaran, dan dipakaikan dengan alat bantu dengar selama lebih kurang 3 bulan sebagai percubaan. Akhirnya, Natalie menjalani pembedahan implan koklea di kedua-dua belah telinga – yang pertama pada umur 11 bulan, dan yang kedua pada umur 4 tahun.

Sejak daripada itu, kebolehan mendengar dan belajar Natalie berkembang dengan baik. Beliau mempunyai seorang abang, Nathaniel Dong, yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Mereka akan belajar, bermain dan mencuba benda baru bersama. Nathaniel hanya tua setahun daripada Natalie, jadi mereka juga berada di tadika yang sama. Di tadika, kawan-kawan Natalie selalu bertanya tentang alat pendengaran Natalie; Nathaniel yang akan tolong menjelaskan persoalan mereka. Nathaniel juga menggalakkan kawan-kawan Natalie untuk sama-sama bantu Natalie di dalam kelas.

Pada tahun 2011, Natalie bersekolah di sekolah rendah arus perdana dan prestasi Natalie amat memberangsangkan. Natalie akan bertanya dengan guru-guru dan kawan-kawan sekiranya beliau menghadapi sebarang masalah di dalam kelas. Natalie juga aktif dalam aktiviti ko-kurikulum, yang mana beliau pernah mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita dalam tiga bahasa yang berlainan, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris! Natalie menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang baik – beliau merupakan ketua kelas dan pengawas semasa di sekolah rendah dan dipilih menjadi ketua pengawas semasa darjah 6. Kini beliau merupakan pengawas di sekolah menengah pula.
Penerimaan intervensi awal membuatkan Natalie cemerlang seperti kanak-kanak berpendengaran normal. Natalie berjaya ke tahap beliau sekarang hasil dorongan pasukan implan koklea UKM, guru-guru, ahli keluarga dan kawan-kawan. Kini Natalie aktif berkongsi pengalaman beliau melalui aktiviti-aktiviti kebajikan kerana beliau ingin membantu keluarga lain yang mengalami situasi yang sama dengan beliau.

Natalie Dong berbangga dipilih menjadi pengawas di sekolah menengah.

Leave a reply