
Liku-liku Kehidupan Hani Nadhrah
Oleh Muhammad Taufik (Ayah) –
Hani Nadhrah merupakan anak ketiga kami daripada lima beradik; satu-satunya anak kami yang mempunyai masalah pendengaran. Masalah pendengaran Hani dikenalpasti ketika beliau berusia 11 bulan. Berita itu amat memilukan hati kami; pada waktu itu kami risau memikirkan masa depan Hani. Kami mula mencari bantuan dan jawapan untuk Hani, dan doa kami termakbul apabila Hani menerima implan koklea pada umur 3 tahun melalui Program Implan Koklea UKM.
Pada mulanya Hani menunjukkan perkembangan yang lambat. Di sekolah, Hani susah untuk memahami percakapan guru dan kawan-kawannya. Namun itu tidak memutuskan semangat kami, termasuk Hani. Hani merupakan seorang yang sangat berdedikasi dan rajin. Kami banyak meluangkan masa bersama Hani membuat latihan aktiviti bahasa di rumah. Usaha kami mula membuahkan hasil apabila Hani menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan semasa darjah 4. Beliau suka membaca buku dan ini membantu dalam perkembangan kosa kata dan kemahiran bahasa beliau. Hani mendapat 3A 2B dalam UPSR; 6A dalam PMR dan penerima anugerah kecemerlangan daripada sekolah dan Jabatan Pendidikan Kuala Terengganu. Selepas SPM, Hani menyambung pelajaran di Kolej Professional MARA di Kuantan dan memperoleh diploma dengan PNGK 3.49 pada tahun 2016. Hani mendapat tawaran untuk meneruskan pengajian sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi beliau memilih untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang agro-pelancongan.
Kini, Hani sangat berdikari. Beliau boleh memandu kereta sendiri dan membantu ahli keluarga dalam urusan harian. Hani suka membeli-belah bersama kawan-kawannya dan menjalani kehidupan seperti seorang dewasa yang berpendengaran normal. Hani juga yakin bergaul dengan orang lain; walaupun beliau mengalami kesusahan untuk mendengar dalam situasi yang bising tetapi beliau boleh menangani situasi sebegini dengan baik. Kami amat gembira dengan pencapaian Hani dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan implan koklea UKM yang banyak membantu kami. Kami amat bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah swt.
Hani sebagai penerima sijil diploma pada hari graduasi beliau di Kolej Profesional Mara, Kuantan.