
Pengalaman yang Bermakna
Oleh Mohd Uzair Mohd Rom (Pengguna Implan Koklea) –
Saya adalah seorang jurutera di sebuah syarikat implan. Terdapat kisah yang panjang di sebalik kehidupan saya masa kini. Segalanya bermula apabila masalah pendengaran saya lambat dikenal pasti. Kedua-dua ibu bapa saya risaukan saya dan membawa saya berjumpa dengan doktor yang berbeza, dan kesemuanya memberi jawapan yang berlainan. Malah, seorang doktor ada mengatakan bahawa saya menghadapi masalah pembelajaran! Setelah disahkan dengan masalah pendengaran, saya mula memakai alat bantu pendengaran dan menghadiri sesi terapi. Tetapi, perkembangan bahasa saya tidak bertambah baik kerana alat bantu pendengaran tidak membantu pendengaran saya yang semakin teruk dari semasa ke semasa. Saya dirujuk ke Program Implan Koklea UKM dan menerima implan koklea ketika saya berusia 12 tahun. Semenjak itu, prestasi saya berkembang dengan baik. Malah, saya belajar bermain dram setahun selepas pembedahan implan tersebut.

Zaman persekolahan saya amat mencabar. Saya diejek, dibuli dan dipulaukan. Saya hampir berputus asa, tetapi ibu bapa saya terutamanya ibu mendorong saya untuk meneruskan perjuangan. Beliau pernah berkata, “Suatu hari nanti, awak pasti akan berjaya. Tuhan mempunyai perancangan yang lebih baik untuk awak”. Ibu saya berhenti kerja semata-mata untuk menumpukan perhatian terhadap pembelajaran saya. Sehingga ke hari ini, ibu adalah pendorong dan sumber kekuatan saya.
Selepas SPM, saya menyambung pengajian diploma di kolej politeknik. Saya tamat pengajian dengan PNGK 3.49 dan ini telah melayakkan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Meskipun saya berjaya dalam bidang akademik dan sukan (saya pernah menjadi wakil universiti dalam sukan Tae Kwon Do di peringkat kebangsaan dan antarabangsa), tetapi pencapaian terbesar bagi saya adalah mempunyai kawan-kawan. Saat paling bermakna dalam hidup saya adalah sewaktu meluangkan masa bersama mereka.
Impian saya menjadi kenyataan apabila saya bekerja di syarikat jenama implan yang saya sendiri gunakan. Kini, saya menuju ke arah merealisasikan cita-cita saya untuk memberikan masa depan yang lebih cerah kepada mereka yang turut mengalami masalah pendengaran. Nasihat saya kepada semua – jangan sekali berputus asa dan teruskan usaha untuk mencapai cita-cita anda.
Uzair Rom ketika menghadiri praktikal di Cochlear Ltd, di Sydney, Australia.