
Perjalanan Penerima Implan Koklea Pertama di Malaysia
Oleh Ang Boon Su –
Masih segar dalam ingatan saya peristiwa yang berlaku 25 tahun yang lalu, ketika di bangku sekolah menengah. Betapa sedih perasaan saya apabila mengetahui saya langsung tidak dapat mendengar lagi. Saya bersyukur apabila Cikgu Yap Lee Fun, seorang guru yang cukup prihatin, bersusah payah membawa saya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan untuk mendapatkan rawatan. Saya seterusnya dirujuk pula ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras, Kuala Lumpur (ketika itu HUKM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendengaran.
Bertitik tolak daripada situlah saya memulakan perjalanan dengan Pasukan Implan Koklea UKM. Antara anggota pasukan ini ialah Profesor Dr. Siti Zamratol Mai-Sarah Mukari dan Profesor Dr. Kartini Ahmad. Mereka bukan sahaja pakar dalam bidang audiologi dan pertuturan-bahasa, bahkan sangat memahami perasaan pesakit. Profesor Dato’ Dr. Lokman Saim pula adalah pakar bedah otologi yang mengetuai pembedahan implan koklea saya pada 14 Disember 1995 – tarikh yang bersejarah kerana inilah pembedahan implan koklea yang julung-julung kali diadakan di Malaysia. Selepas pembedahan, saya menjalani proses terapi pertuturan dan pemetaan koklear sehingga dapat mendengar dan berkomunikasi semula.
Saya meneruskan alam persekolahan, dan mendapat pangkat 1 dalam SPM, dan 5 prinsipal dalam STPM. Seterusnya saya mengorak langkah ke menara gading dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri dari UPM pada tahun 2002, dan dua tahun berikutnya pula Ijazah Sarjana Pendidikan dari USM. Saya memulakan kerjaya dalam sektor swasta sebelum mendapat tawaran mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Ini membolehkan saya berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sebuah sekolah menengah sehingga tahun 2012. Kini saya bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Ilmu Pendidikan di sebuah Institut Pendidikan Guru di Pantai Timur.
Sesungguhnya, saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk mendengar kali kedua. Tanpa anugerah pendengaran ini, tidak mungkin rasanya saya dapat mengecapi secebis kejayaan pada hari ini, yang membolehkan saya hidup berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Syukur kepada Tuhan, dan terima kasih tidak terhingga kepada semua individu dan pakar-pakar perubatan yang telah membantu saya.
Ang Boon Su, penerima implan koklea pertama di Malaysia, kini seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru di Pantai Timur.