
Srikandi Kami
Oleh Gnanamalar John (Ibu) –
Anak pertama kami Jayashri disahkan dengan masalah pendengaran pada tahap teruk di kedua-dua belah telinga ketika usianya 2 tahun. Melalui khidmat kepakaran Profesor Dato’ Dr. Lokman Saim, pakar otorinolaringologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM ketika itu) bersama dengan ahli pasukan implan koklea UKM, Jayashri menerima implan kokleanya yang pertama pada usia 3 tahun. Sehingga ke hari ini kami masih ingat kata-kata Prof., “Pembedahan implan koklea adalah perkara yang mudah; pengorbanan dan komitmen ibu bapa terhadap pengurusan selepas pembedahan yang menjadi penentuan masa depan Jayashri. Sejak daripada itu, kami mula belajar untuk menerima kekurangan Jayashri dan berusaha untuk membantunya sebaik mungkin.
Saya, suami dan dibantu oleh ibu bapa saya akan bergilir membawa Jayashri ke terapi untuk belajar bahasa dan bercakap. Pasukan implan koklea UKM seolah-olah menjadi ahli keluarga kedua kami. Di rumah, kami sentiasa bercakap dengan Jayashri; kami melatih beliau untuk mendengar dengan implan dan beliau menunjukkan perkembangan yang baik. Jayashri menerima implan koklea kedua semasa beliau berumur 7 tahun.
Pada tahun 2007, kami dikurniakan dengan Jeevetha. Beliau juga disahkan mempunyai masalah pendengaran. Kali ini kami lebih bersedia; Jeevetha menerima implan koklea yang pertama sebelum beliau berusia 3 tahun, dan implan kedua 2 tahun selepas itu. Seperti kakaknya, Jeevetha menunjukkan perkembangan yang bagus di bawah dorongan pasukan UKM.
Kini kedua-dua Jayashri, 14; dan Jeevetha, 10, menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Mereka cemerlang di sekolah arus perdana dan setanding dengan kanak-kanak sebaya yang berpendengaran normal. Suami saya kerap berkomunikasi dengan guru-guru mereka untuk memantau perkembangan mereka. Kami juga menggalakkan Jayashri dan Jeevetha untuk mengambil kelas muzik dan bersukan. Mereka berdua boleh bermain gitar dan Jeevetha adalah wakil olahraga di sekolahnya. Kami sangat berbangga dengan mereka, terutamanya apabila mereka membuat persembahan di pentas atau menerima anugerah.
Nasihat saya kepada semua ibu bapa: jangan putus asa dengan anak-anak anda. Perjalanan hidup sebagai ibu bapa memang mencabar tetapi dengan usaha dan kesabaran, pasti akan membuahkan kejayaan. Semoga Tuhan memberkati kita semua.
Jayashri dan Jeevetha aktif dalam sukan badminton.