Centre for IDEA UKM

 

Buku Penyelidikan: Geran Traslasi UKM 2021

Pusat IDEA telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana Malaysia Research University Network (MRUN) dan dana dalaman penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tujuan penawaran geran projek penyelidikan baharu yang bersifat translasi. Objektif utama penyelidikan translasi ini adalah untuk menyerlahkan kebitaraan universiti dalam memperkasakan projek penyelidikan berimpak yang bersifat translasi dan multidisiplin untuk manfaat pihak berkepentingan secara signifikan, khususnya pihak kerajaan, industri dan komuniti, sekaligus menyokong kelestarian ekosistem penyelidikan UKM.

Agenda memperkasakan penyelidikan translasi merupakan salah satu naratif baharu UKM seperti yang telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor UKM dalam Bicara Perdana Naib Canselor pada 10 Jun 2021 yang lalu. Bitara i-MINDA akan menjadi pencetus kepada para penyelidik UKM untuk menggerakkan penyelidikan translasi yang berkeupayaan menterjemahkan output yang berimpak tinggi seperti pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk, pendaftaran harta intelek, dan penghasilan kertas polisi yang menjadi penyelesaian tuntas kepada permasalahan negara, industri dan komuniti.

Selain itu, projek penyelidikan translasi juga perlu melibatkan kolaborasi bersama rakan strategik dari pihak industri dan penyelidik dari universiti awam bukan universiti penyelidikan yang lain, khususnya MCUN/MTUN untuk bersama-sama menggerakkan penyelidikan tersebut, di samping pertukaran idea kreatif dan inovatif, dan perkongsian hasil penyelidikan, pengalaman dan kemahiran bagi menghasilkan output yang berimpak tinggi.

Fokus utama geran TR-UKM adalah untuk menyokong agenda dan mendepani sepuluh (10) Cabaran Perdana Malaysia, iaitu; (i) tenaga, (ii) pendidikan, (iii) air dan makanan, (iv) pertanian dan perhutanan, (v) alam sekitar dan biodiversiti, (vi) bandar pintar dan pengangkutan, (vii) perubatan dan penjagaan kesihatan, (viii) kebudayaan, kesenian dan pelancongan, (ix) perkhidmatan perniagaan dan kewangan dan (x) teknologi dan sistem pintar. Selain itu, projek TR-UKM ini juga bertumpu kepada agenda untuk membantu dan memperkasakan masyarakat dan sektor perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 supaya memastikan golongan rentan tersebut dapat meneruskan kesinambungan kehidupan pasca COVID-19.

Pautan Buku: https://shorturl.at/nISV3