Pameran Penyelidikan dan Inovasi sempena Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 telah berlangsung pada 13 November 2025 bertempat di Foyer DECTAR, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini merupakan anjuran bersama Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM dan Pusat IDEA UKM dengan kolaborasi pelbagai agensi strategik, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memartabatkan penyelidikan dan inovasi berteraskan nilai Islam.
Selari dengan tema “Universiti, Islam dan Teknologi: Membentuk Peradaban Holistik”, pameran ini menghimpunkan gabungan ilmu tradisi, inovasi moden dan teknologi digital yang memacu pembangunan masyarakat secara seimbang dan beretika. Sebanyak 15 produk penyelidikan dan inovasi UKM telah dipamerkan, merangkumi aplikasi digital, modul pendidikan, metodologi penyelidikan baharu serta penyelesaian inovatif berasaskan nilai-nilai Islam.
Konvensyen ini telah mencatat kehadiran hampir 4,000 pengunjung, manakala pameran menerima aliran pengunjung yang tinggi sepanjang hari, melibatkan mahasiswa, wakil industri serta agensi kerajaan. Pameran turut menerima kunjungan YB Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, serta Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang meluangkan masa melawat reruai pameran dan berinteraksi secara langsung dengan para penyelidik. Dalam sesi tersebut, beberapa penyelidik UKM turut menghadiahkan buku hasil penyelidikan kepada YB Menteri dan Sahibus Samahah sebagai simbol perkongsian ilmu dan sumbangan akademik.
Penganjuran pameran ini telah berjaya menjana minat awal terhadap penyelidikan serta pembangunan produk berteraskan Islam dan teknologi, di samping meningkatkan kefahaman pengunjung terhadap peranan penyelidikan dalam menyokong pembangunan negara. Kehadiran rakan pempamer seperti Department of Islamic Development Malaysia (JAKIM) dan ZUS Coffee turut menjadikan pameran ini sebagai platform interdisiplin yang mempertemukan akademia, industri dan komuniti mahasiswa.
Secara keseluruhannya, pameran ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif penganjuran. Sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung serta kehadiran kepimpinan tertinggi negara membuktikan pameran ini berfungsi sebagai platform yang efektif dalam menyerlahkan kekuatan UKM dalam bidang inovasi, penyelidikan dan integrasi Islam–teknologi. Penganjuran ini sekali gus meningkatkan profil dan keterlihatan UKM sebagai peneraju inovasi berasaskan nilai dan teknologi di peringkat nasional.






