Majlis Menandatangani Perjanjian Pelesenan antara UKM Technology Sdn. Bhd. dan MZ Herbs & Resources serta Majlis Pelancaran Produk Gynulin™️

(Last Updated On: )

Majlis Menandatangani Perjanjian Pelesenan antara UKM Technology Sdn. Bhd. dan MZ Herbs & Resources serta Majlis Pelancaran Produk GynulinTM telah diadakan pada 1 Oktober 2020 (Khamis) di Hotel Puri Pujangga, UKM Bangi.

Majlis dilancarkan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Pengerusi UKM Technology Sdn. Bhd.

Tahniah diucapkan kepada Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mahanem binti Mat Noor dari Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi, Fakulti Sains & Teknologi dan Penyelidik Bersama, Dr. Wan Mohd Aizat bin Wan Kamaruddin dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) serta pelajar PhD. Cik Khaidatul Akmar Kamaruzaman di atas pelancaran produk GynulinTM.

GynulinTM merupakan minuman berfungsi untuk kesihatan umum berasaskan tumbuhan sambung nyawa. Penyelidikan ini telah dijalankan sejak tahun 2013 berkaitan potensi herba sambung nyawa dalam kesihatan reproduksi dan diabetes.

GynulinTM telah berjaya menjadi finalis Anugerah Malaysia Commercialisation Year 2019 (MCY 2019) di bawah kategori Anugerah Inovator Baharu dan merupakan pemenang pingat emas di ITEX 2018, Si2TE 2018, PECIPTA 2017, INNOTvet 2017 dan UKM IP CHALLENGE 2017. GynulinTM juga merupakan Pemenang Anugerah Khas KASS Best Invention Award (ITEX 2018) dan Anugerah Khas Juri (UKM IP Challenge 2017).