Majlis Penyerahan Penginapan Luar Kampus Daripada Jana@UKM & Professional-UKM kepada Pusat Perumahan Pelajar.
Tarikh 23 Jun 2022 merupakan detik bersejarah buat warga UKM apabila secara rasminya Pusat Perumahan Pelajar mengambil alih pengurusan penginapan luar kampus yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022. Majlis penyerahan ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd. Suzeren Md Jamil, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UKM di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 6 Bangunan Canselori.
Pusat Pengurusan Penjanaan UKM (JANA@UKM) telah menguruskan 300 unit penginapan luar kampus di Pangsapuri UKM Seksyen 1, Pangsapuri UKM Seksyen 3, Pangsapuri UKM Taman Tenaga dan Rumah Teres Jalan 6 sejak tahun 2015. Semoga dengan penyerahan ini pengurusan penginapan dan kebajikan pelajar UKM akan lebih maju demi UKM tercinta.
Turut hadir menyaksikan penyerahan ini adalah YBhg. Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla, Pendaftar UKM, YBrs. Encik Mohd Azli Mohd Kasirun, Bendahari UKM, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi Mohamad, Pengarah Profesional-UKM, YBrs. Dr. Shazli Ezzat Ghazali, Pengarah Pusat Perumahan Pelajar dan YBrs. Dr. Mustazar Mansur, Timbalan Pengarah Eksekutif JANA@UKM, timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai dari JANA@UKM, Profesional-UKM dan Pusat Perumahan Pelajar.