Pada 29 Ogos 2025 (Jumaat), Bahagian Pembangunan Pendapatan JANA@UKM telah mengadakan mesyuarat bersama Fakulti Pendidikan (FPEND), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Jabatan Pendaftar, ROSH, Tadika Tunas UKM serta Makmal Autisme UKM.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Pro-Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana), YBhg. Prof. Sr Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani. Antara ahli yang terlibat dalam mesyuarat ini adalah Dekan FSSK UKM, YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pendapatan) JANA@UKM, YBrs. Dr. Afifuddin Husairi Mat Jusoh @ Hussain, Timbalan Pengarah (Pengurusan Risiko) ROSH-UKM, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah dan Timbalan Dekan (Prasiszawah) FPEND. Turut hadir, wakil daripada Makmal Autisme UKM, Tadika Tunas UKM, JANA@UKM dan wakil daripada Jabatan Pendaftar.
Mesyuarat ini bertujuan mendapatkan maklumbalas serta perkongsian idea antara PTj yang terlibat berkaitan aspek pengurusan dan pengoperasian semasa Tadika Tunas UKM. Selain itu, mesyuarat ini juga membincangkan perancangan bagi memperkasa perancangan penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak UKM yang lebih holistik, inklusif dan mampan.
Seiring dengan perkembangan tersebut, perhatian juga diberikan kepada pengembangan perkhidmatan intervensi awal khususnya kepada murid berkeperluan khas autism. Dalam usaha menambahbaik aspek pendidikan awal, cadangan memperkasa Makmal Pembelajaran Autisme UKM turut dibincangkan sebagai pusat penyelidikan dan latihan yang inovatif dan berintegrasi.
Langkah-langkah ini diharapkan dapat menyokong visi UKM dalam menyediakan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak yang kondusif, mesra komuniti dan menyeluruh untuk warga kampus. Ia juga memperkukuhkan tanggungjawab universiti dalam usaha menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi yang berdaya tahan dan inklusif dalam membentuk generasi masa depan.