Bengkel Pemurnian Data Kelestarian UKM 2023

16 September 2023

Bengkel Pemurnian Data Kelestarian UKM 2023 telah berlangsung pada 16 hingga 17 September 2023 bertempat di Klana Resort Seremban. Bengkel ini dianjurkan sebagai salah satu usaha strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam memperkukuh ketepatan dan kebolehpercayaan data berkaitan kelestarian universiti, selaras dengan keperluan penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings. Fokus utama bengkel kali ini adalah terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7: Affordable and Clean Energy, yang menekankan keperluan akses kepada tenaga moden, berpatutan, boleh dipercayai dan lestari untuk semua.

Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta yang terdiri daripada wakil fakulti, pusat tanggungjawab (PTj), dan pasukan teknikal UKM telah menjalankan sesi semakan, pemurnian dan penyelarasan data berkaitan penggunaan tenaga, inisiatif tenaga boleh diperbaharui, serta usaha kecekapan tenaga di kampus. Perbincangan turut melibatkan pemetaan data dengan indikator SDG 7 bagi memastikan pelaporan universiti berada pada tahap yang optimum dan sejajar dengan piawaian antarabangsa. Bengkel ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi UKM dalam agenda kelestarian global serta memperkukuh komitmen universiti dalam menyokong pembangunan mampan.