Lawatan Penanda Aras & Perbincangan Strategik Penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak UKM

29 September 2025

Pada 23 dan 24 September 2025, Pusat Pengurusan Penjanaan UKM (JANA@UKM) yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pendapatan), YBrs. Dr. Afifuddin Husairi Mat Jusoh@Hussain, telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Setiausaha Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Nor Suhara Fadzil, disusuli lawatan penanda aras ke Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
 
Tujuan utama perbincangan dan lawatan ini adalah untuk mendapatkan gambaran awal mengenai pengurusan dan pengoperasian Pusat PERMATA serta Taska HPKK dan HCTM, di samping meneroka idea baharu untuk memperkasa perancangan penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak UKM yang lebih holistik dan inklusif.
 
Selain itu, inisiatif ini turut menjadi platform penting dalam mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara UKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekali gus menyokong agenda pembangunan pendidikan dan komuniti universiti ke arah kualiti perkhidmatan yang lebih mampan dan berimpak tinggi.