UKM Perkukuh Transformasi Kampus Rendah Karbon Menerusi Projek Tenaga Suria di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

15 Oktober 2026

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh komitmennya dalam merealisasikan agenda kelestarian kampus dan peralihan kepada penggunaan tenaga bersih menerusi pelaksanaan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid-Connected Solar PV System) di Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
 
Majlis Penyerahan Projek yang berlangsung pada Rabu, 14 Oktober 2026, bertempat di Wisma Putra 1, Kementerian Luar Negeri, Putrajaya.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, dengan kehadiran Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.
 
Delegasi UKM diketuai oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Prasarana UKM (JPP), Encik Zolkefli Mohamed. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pendapatan), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM (JANA@UKM), YBrs. Prof. Madya Dr. Afifuddin Husairi Hussain; Pengurus Tenaga Berdaftar (Registered Energy Manager, REM) JANA@UKM, YBrs. Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Afida Ayob; Ketua Unit Elektrik JPP Kampus Kuala Lumpur, Encik Mohd Farif Abd Rahman; Ketua Unit Elektrik JPP Kampus Bangi, Ir. Mohamad Shahril Hussain; Ketua Pentadbiran Fakulti Perubatan UKM, Encik Zansyuwari Mohamad Shahrullail serta pegawai-pegawai JANA@UKM dan Penolong Jurutera JPP Kampus Kuala Lumpur.
Dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Ekonomi, projek ini telah disiapkan sepenuhnya pada 10 Ogos 2026 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), dengan penglibatan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia). Kejayaan pelaksanaannya turut didukung oleh penyelarasan strategik bersama UKM menerusi JANA@UKM, JPP UKM dan Fakulti Perubatan UKM.
 
Projek berkenaan melibatkan pemasangan sistem panel fotovolta suria di atas bumbung Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM, dengan kapasiti terpasang sebanyak 198.04 kilowatt-puncak (kWp) dan nilai keseluruhan projek berjumlah RM972,251.24.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberikan pulangan yang signifikan dari aspek penjimatan kos elektrik yang dianggarkan sebanyak RM81,000 setahun dan pengurangan pelepasan karbon yang sebanyak 200.49 tan karbon dioksida (CO₂) setahun.
 
Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi negara dalam mempercepat peralihan tenaga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 13: Tindakan Iklim.
 
Pada masa yang sama, pelaksanaan projek tenaga suria ini memperkukuh usaha UKM dalam meningkatkan prestasi kelestarian institusi, termasuk potensi penambahbaikan kedudukan universiti dalam penarafan kelestarian pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.