Latar Belakang

Jabatan Kesihatan Masyarakat merupakan satu jabatan di bawah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1972. Sejak 1997, jabatan ini juga telah memberi perkhidmatan di bawah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Oleh kerana pertambahan tanggungjawab kepada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, jabatan ini merancang untuk menambahkan kakitangan sediaada dan ruang pembelajaran fizikal. Pada tahun 2018, 21 pensyarah yang aktif bekerja untuk jabatan, dibantu oleh 22 kakitangan sokongan dan 8 pembantu penyelidik. Jabatan ini memerlukan lebih ramai lagi pensyarah di dalam pelbagai bidang pakar dan lebih kakitangan sokongan untuk menampung perkara-perkara yang berlaku dan pendidikan terancang, penyelidikan dan program-program perkhidmatan.

 

Jabatan ini juga aktif dalam pelbagai penyelidikan kesihatan. Ini termasuk pengajian mikronutrien, pengajian kelakuan remaja, pengajian pencemaran udara, dan sebagainya. Jabatan ini juga telah menjadi pusat rujukan bagi beberapa bidang kepakaran. Jabatan ini bangga dapat melahirkan ramai graduate dalam tahap-tahap Sarjana, PhD dan diploma. Ini akan dapat memenuhi keperluan saintis-saintis kesihatan di dalam negara bagi mencapai “Visi 2020” yang telah diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri kita.

 

Jabatan juga telah membuat beberapa Program Kolaborasi dan Pengantarabangsaan di mana jabatan telah bekerjasama dengan University Science and Technology Yemen bagi Program Sarjana Sains Kesihatan Masyarakat (Pengurusan Kesihatan), Program Kerjasama dengan Universitas Diponegoro, Indonesia dan hasil dari kerjasama tersebut, seramai 4 orang pelajar dihantar ke jabatan untuk menjalani program pertukaran pelajar. Program Penyelidikan Mc Master Universiti Hamilton, Canada juga sedang dijalankan. Jabatan juga terlibat dalam Program Kajian Kolaborasi Malaysia-Indonesia-Brunei (MIB Cardiovascular, Avian Flue). Jabatan juga berhasrat untuk menjalinkan program kerjasama dengan Universiti di Jepun dan Universiti Aberdeen, United Kingdom. Selain itu, aktiviti khidmat komuniti dari Unit Media dan Promosi Kesihatan (mediPRO) juga berjalan dengan lancar. Program HINDAR pada tahun ini agak memberangsangkan di mana 4250 pelajar telah melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dari 8 buah sekolah sekitar Daerah Hulu Langat, Selangor.

Sebagai sebahagian sumbangan kepada masyarakat dan universiti, jabatan ini juga menjalankan program-program berikut ;

  • Klinik Warga
  • Program Promosi Kesihatan Hulu Langat

Untuk membangunkan lagi bidang Kesihatan Masyarakat, jabatan ini menganjurkan Kolokium Kesihatan Masyarakat Kebangsaan setiap tahun (sejak 1994) dan menerbitkan Jurnal Kesihatan Masyarakat (juga sejak 1994).