Latihan Industri

Garis Panduan Menjalani Latihan Industri Di Jabatan Kesihatan Masyarakat, PPUKM :

 

Dimaklumkan bahawa PPUKM masih belum menggunapakai pekeliling JPA (L)S.175/4/4-2 Klt.4(21) bertarikh 6 September 2019 bagi Bayaran Elaun kepada Pelajar IPTA Yang Mengikuti Latihan Amali/Praktikal di Sektor Awam.  Sehubungan itu kami masih mengekalkan polisi semasa iaitu tiada elaun yang dapat diberikan kepada pelajar dan pelajar  juga tidak perlu membayar untuk menjalani latihan di Jabatan ini.

 

DASAR LATIHAN INDUSTRI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Dalam dunia hari ini, para graduan perlu mempunyai kompetensi dan kemahiran pekerjaan untuk mereka berdaya saing di pasaran pekerjaan. Para graduan harus mempunyai pengetahuan yang relevan dan terkini, pengalaman praktikal, kemahiran insaniah serta sikap yang positif untuk melengkapkan mereka sebelum berdepan cabaran dunia kerjaya sebenar. Latihan industri memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan untuk menerima pengalaman praktikal supaya dapat mempertingkatkan kebolehpasarannya (marketability).

 

DEFINISI LATIHAN INDUSTRI
Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi untuk menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam industri yang dipilih, sama ada di luar ataupun di dalam negara, dalam jangka masa yang ditetapkan sebelum mereka dianugerahkan Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.

 

OBJEKTIF KHUSUS
Di antara objektif khusus program latihan industri ialah memberi peluang kepada pelajar untuk :

  • memahami tanggungjawab alam pekerjaan yang sebenar
  • mendapat pengalaman praktikal yang sesuai dengan bidang pengkhususan masing-masing
  • mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran akademik dalam alam pekerjaan yang sebenar
  • menghayati nilai etika profesional
  • mengasah kemahiran insaniah yang sesuai dengan persekitaran pekerjaan
  • meningkatkan kemahiran berkomunikasi
  • menilai kebolehan kerjaya, pengetahuan dan keyakinan diri pelajar
  • mempertingkatkan kebolehpasaran pelajar supaya lebih berdaya saing

 

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PELAJAR SEMASA MENJALANI LATIHAN INDUSTRI

  • menjalani program latihan industri dengan bersungguh-sungguh, minat dan jujur
  • mematuhi segala arahan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh organisasi yang menawarkan program latihan industri
  • menjaga nama baik IPT dan hos organisasi
  • memaklumkan kepada pihak IPT sekiranya berlaku sebarang masalah di tempat latihan industri
  • menghubungi penyelia IPT atau penyelia organisasi sekiranya perlu
  • menghantar borang penilaian kendiri dan laporan kepada penyelia IPT dalam masa yang ditetapkan

 

TATATERTIB SEMASA MENJALANI LATIHAN INDUSTRI
Sepanjang menjalani tempoh latihan industri, pelajar tetap tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 2009); Akta IPTS 1996 (Akta 555); dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Pelajar juga dikehendaki mematuhi peraturan berikut semasa menjalani program latihan industri :

  • mematuhi masa bekerja dan segala peraturan di organisasi sama seperti kakitangan yang lain
  • tidak mengambil cuti sepanjang masa menjalani latihan industri kecuali dengan kelulusan organisasi berkaitan
  • menghubungi pihak organisasi dengan segera sekiranya tidak dapat hadir kerana kecemasan atau cuti sakit
  • menghubungi pihak organisasi sekiranya terpaksa sampai lewat kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan
  • tidak membocorkan rahsia atau memberi maklumat sulit organisasi kepada mana-mana pihak semasa menjalankan latihan industri ataupun sesudahnya
  • menggunakan sebarang harta kepunyaan organisasi dengan baik
  • sentiasa berpakaian kemas sesuai dengan keadaan dan peraturan pemakaian di tempat latihan industri

 

SKOP LATIHAN INDUSTRI DI JABATAN KESIHATAN MASYARAKAT, PPUKM
Memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari serta mendapat pendedahan amalan kerja dalam bidang pengkhususan masing-masing terutama dalam kerja-kerja :

  1. Merancang dan mengurus program pembangunan berteraskan kesihatan dan kecergasan dalam komuniti.
  2. Merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti berteraskan kesihatan dan kecergasan seperti seminar, pameran dan aktiviti sukan dalam komuniti dan kakitangan PPUKM.
  3. Menerbitkan pelbagai media promosi kesihatan seperti video kesihatan, poster, brosur dan garis panduan sama ada secara cetakan mahupun elektronik untuk kegunaan masyarakat awam.
  4. Mempelajari ilmu dan kemahiran grafik berkomputer bagi tujuan penerbitan pelbagai bentuk laporan di Jabatan.
  5. Mengikuti latihan, seminar atau persidangan berkaitan Kesihatan Awam.

 

PENYELARAS LATIHAN INDUSTRI DI JABATAN KESIHATAN MASYARAKAT, PPUKM
Sebarang pertanyaan berhubung permohonan untuk menjalani latihan industri di jabatan ini boleh merujuk kepada :

EN. MOHD RIZAM BIN ABDUL RAHMAN
Pegawai Pembangunan Masyarakat (Kanan)
Jabatan Kesihatan Masyarakat
Tingkat 6, bangunan Pra-Klinikal
Pusat Perubatan UKM
Jalan Yaacob Latiff, Bandar Tun Razak
56000 Cheras, Kuala Lumpur.

Tel : 03 9145 8796 / 013 341 5655
Email : rizam@ppukm.ukm.edu.my

 

Galeri :

 

Arkib laporan :