JPEP Perkasa Pengetahuan Teknologi Makmal melalui Sesi Taklimat dan Demonstrasi
27 Januari 2026 | Kuala Lumpur
Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan (JPEP), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Instrument Talk & Demonstration Session: Image Analyzer pada 27 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan dan Makmal Komuniti JPEP.
Program ini diadakan bagi memberikan pendedahan kepada warga jabatan mengenai teknologi Image Analyzer, termasuk fungsi, keupayaan serta aplikasinya dalam menyokong aktiviti penyelidikan dan kerja-kerja makmal.
Sesi taklimat dan demonstrasi telah disampaikan oleh wakil daripada Matrix Optics, yang memberikan penerangan berkaitan instrumen tersebut serta demonstrasi penggunaannya secara langsung kepada para peserta.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta turut berpeluang mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai aplikasi Image Analyzer serta berinteraksi dengan wakil syarikat bagi memahami penggunaan teknologi tersebut dalam konteks penyelidikan dan analisis makmal.
Penganjuran program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu antara pihak industri dan warga akademik serta penyelidik JPEP, di samping membuka ruang kepada penerokaan teknologi dan instrumen baharu yang berpotensi menyokong aktiviti penyelidikan dan makmal.
Program ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara JPEP dan pihak industri serta menyumbang kepada usaha berterusan dalam meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam bidang parasitologi dan entomologi perubatan.