BICARA MINDA SUNTIK SEMANGAT WARGA UKM UNTUK BEKERJA DENGAN HATI, BERKHIDMAT DENGAN JIWA

6 Februari 2026 | Kuala Lumpur

“Kita bekerja bukan sekadar kerana tugas, tetapi kerana amanah dan nilai yang ingin kita berikan.”

Demikian antara mesej yang dapat diterapkan menerusi program Bicara Minda: Bekerja Dengan Hati, Berkhidmat Dengan Jiwa yang telah berlangsung pada 6 Februari 2026 di Dewan Kuliah 1, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program anjuran Kelab Wanita UKM (Gugusan Kesihatan) dengan kerjasama Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan UKM menampilkan personaliti motivasi dan pengacara, Tn. Amin Idris, sebagai penyampai sesi perkongsian yang sarat dengan inspirasi, refleksi dan motivasi berkaitan kehidupan serta dunia pekerjaan.

Mengangkat tema “Bekerja Dengan Hati, Berkhidmat Dengan Jiwa”, program ini memberi ruang kepada warga UKM untuk melihat semula makna di sebalik tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan setiap hari.

Dalam penyampaiannya, Tn. Amin Idris membawa peserta menyelami perspektif yang lebih luas tentang pekerjaan – bahawa setiap tugasan, sama ada besar atau kecil, mempunyai nilai apabila dilaksanakan dengan niat yang baik, kesungguhan dan rasa tanggungjawab.

Perkongsian yang disampaikan dalam suasana santai dan dekat dengan realiti kehidupan warga kerja turut mencetuskan refleksi tentang bagaimana seseorang boleh mengekalkan motivasi, membina hubungan yang baik di tempat kerja serta terus memberikan yang terbaik walaupun berdepan dengan cabaran dan rutin harian.

Program ini bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, malah menjadi ruang untuk peserta berhenti seketika daripada kesibukan kerja, menyusun semula niat dan menyegarkan kembali semangat untuk berkhidmat.

Kehadiran peserta secara bersemuka serta penyertaan melalui siaran langsung Facebook Fakulti Perubatan UKM menunjukkan sambutan yang baik terhadap program yang membawa mesej positif dan dekat dengan kehidupan warga kerja.

Diharapkan perkongsian yang dibawa melalui Bicara Minda dapat terus memberi inspirasi kepada warga UKM untuk melaksanakan setiap amanah dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

Kerana setiap hari kita mungkin melakukan perkara yang sama, tetapi apabila hati dan jiwa diletakkan bersama dalam pekerjaan, rutin yang biasa boleh berubah menjadi sesuatu yang bermakna.

Bekerja dengan hati, berkhidmat dengan jiwa.