KUNJUNGAN ZIARAH KEPADA BEKAS KAKITANGAN JABATAN YANG TERLIBAT DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA
16 Februari 2026 | Bangi
Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan kunjungan ziarah kepada bekas kakitangan jabatan, Encik Ahmad Firdaus Mohd Salleh, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 13 Februari 2026.
Kunjungan yang diwakili oleh Ketua Jabatan, Prof. Madya Dr. Emelia Osman dan Dr. Syamsa Rizal ini merupakan tanda keprihatinan dan sokongan warga jabatan terhadap kebajikan serta keadaan semasa beliau. Encik Ahmad Firdaus kini berkhidmat di Jabatan Perubatan Kecemasan (JPMD), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Kunjungan tersebut turut menjadi ruang untuk bertanya khabar, memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan doa agar beliau diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kekuatan sepanjang tempoh pemulihan.
Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan sentiasa menghargai hubungan silaturahim bersama bekas warga jabatan dan berharap agar kunjungan ini dapat memberikan sedikit sebanyak sokongan moral kepada Encik Ahmad Firdaus serta keluarga.
Seluruh warga Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan mendoakan agar Encik Ahmad Firdaus dikurniakan kesembuhan dan kembali menjalani kehidupan serta tugas seperti sediakala.