ANUGERAH SANJUNGAN KENCANA FAKULTI PERUBATAN 2026 SERLAH KEJAYAAN WARGA JABATAN
17 Julai 2026 | Institut Latihan DBKL (IDB)
Majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2026 telah berlangsung pada 16 Julai 2026 bertempat di Institut Latihan DBKL (IDB), Kuala Lumpur, sebagai satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap warga Fakulti Perubatan yang telah menunjukkan kecemerlangan, komitmen serta sumbangan dalam pelbagai bidang.
Majlis ini turut menyaksikan kejayaan warga Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan apabila dua pencapaian telah diraih dalam kategori anugerah yang dipertandingkan.
En. Mohd Rafizul Mohd Yusof telah menerima Anugerah Perkhidmatan Penyelidikan (Kakitangan Bukan Akademik) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen beliau dalam menyokong aktiviti penyelidikan di fakulti.
Selain itu, Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan turut menerima Anugerah Keterlibatan Komuniti Jabatan (Praklinikal) sebagai penghargaan terhadap usaha dan komitmen jabatan dalam melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti serta memperkukuh peranan fakulti dalam khidmat masyarakat.
Dalam majlis yang sama, En. Mohd Zuhaidi Harith turut menerima pencalonan bagi Anugerah Inovasi Harta Intelek, yang mencerminkan usaha serta sumbangan beliau dalam bidang inovasi dan penghasilan harta intelek.
Pencapaian dan pengiktirafan yang diterima ini mencerminkan komitmen berterusan warga Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan dalam menyumbang kepada kecemerlangan Fakulti Perubatan, khususnya dalam bidang penyelidikan, keterlibatan komuniti dan inovasi.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah dan calon atas pencapaian yang membanggakan. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada warga jabatan untuk terus menghasilkan kecemerlangan serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada fakulti dan universiti.