Semarak Cinta Rasulullah SAW, Warga Fakulti Perubatan Hayati Akhlak Mulia
20 Ogos 2026 | Dewan Kuliah 2, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan
Program Ceramah Maulidur Rasul bertemakan “Memperkasa Akhlak Mulia, Berteraskan Sunnah Rasulullah SAW” telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Ogos 2026 bertempat di Dewan Kuliah 2, Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan.
Program ini dianjurkan oleh Kelab Wanita Gugusan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan sebagai usaha menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul serta memupuk penghayatan terhadap akhlak mulia dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Izmir Fareez Noorazlan, yang berkongsi pengisian mengenai kepentingan meneladani keperibadian Rasulullah SAW serta menjadikan sunnah Baginda sebagai panduan dalam membentuk akhlak dan peribadi yang terpuji.
Majlis turut diserikan dengan alunan qasidah daripada Maahad Tahfiz Alhidayah Wal Ehsan, yang menambahkan suasana penuh penghayatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada para hadirin mencerminkan sokongan terhadap penganjuran program kerohanian seumpama ini. Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar dan berjaya menjadi wadah untuk meningkatkan penghayatan agama, menyemai nilai-nilai murni serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga fakulti.
Diharapkan program ini dapat terus menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan mendorong warga fakulti untuk mengamalkan akhlak mulia serta sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.