Memperkukuh Kemahiran Diagnostik Filariasis melalui In-House Training

Training 10 September 2026 | Bilik Mesyuarat Jabatan dan Makmal Komuniti

Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan telah menganjurkan program In-House Training: Filariasis pada 10 September 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan dan Makmal Komuniti. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta memperkukuh kemahiran teknikal kakitangan dalam prosedur penyediaan dan pewarnaan filem darah bagi tujuan pemeriksaan mikroskopik filariasis.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan, diikuti taklimat ringkas yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Aishah Hani Azil. Taklimat tersebut memberikan pengenalan kepada prosedur kerja dan kepentingan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan dalam pemeriksaan makmal.

Sesi latihan amali (hands-on) menjadi pengisian utama program, melibatkan latihan penyediaan apusan filem darah tebal serta teknik pewarnaan menggunakan Giemsa. Prosedur latihan dilaksanakan dengan merujuk kepada piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan prosedur yang berkaitan dengan Institut Kesihatan Umum (IKU).

Melalui latihan ini, peserta berpeluang memperkukuh kemahiran praktikal serta meningkatkan kefahaman terhadap prosedur makmal yang betul bagi menyokong ketepatan dan kualiti pemeriksaan mikroskopik filariasis.

Secara keseluruhannya, program ini merupakan usaha berterusan jabatan dalam mempertingkatkan kompetensi teknikal dan memastikan amalan kerja makmal dilaksanakan secara sistematik, berkualiti serta selaras dengan standard yang berkaitan.