BENGKEL “FROM SAMPLE TO RESULT” PERKASA PENGETAHUAN DALAM DIAGNOSTIK MOLEKULAR

6 Oktober 2026 | Cheras, Kuala Lumpur

Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan bengkel “From Sample to Result: Exploring Bioer’s Molecular Diagnostic Technologies” dengan kerjasama Biotek Abadi dan Bioer Technology pada 6 Oktober 2026. Bengkel yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Aras 16, Blok Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM, Cheras.

Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan teknologi diagnostik molekul serta aplikasinya dalam bidang penyelidikan dan diagnostik klinikal. Program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan teknologi terkini yang menyokong proses pengesanan dan analisis asid nukleik dalam pelbagai aplikasi makmal.

Sesi bengkel telah disampaikan oleh Dr. Nur Syahirah Che Razali, Pakar Aplikasi Lapangan daripada Biotek Abadi. Antara pengisian utama bengkel ialah pengenalan kepada Bioer Technology dan peranannya dalam memajukan bidang diagnostik molekul, di samping penerangan mengenai rangkaian produk yang merangkumi teknologi pengekstrakan asid nukleik, tindak balas rantai polimerase (PCR), PCR

masa nyata (qPCR), PCR digital serta platform ujian di tempat rawatan (point-of-care testing, POCT).

Selain itu, peserta turut diberikan penerangan berkaitan prinsip asas PCR masa nyata serta aplikasinya dalam bidang klinikal dan penyelidikan. Perkongsian ini diharap dapat meningkatkan pemahaman peserta terhadap prinsip kerja teknologi diagnostik molekul dan penggunaannya dalam menyokong ketepatan serta keberkesanan proses analisis makmal.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan UKM dalam memperkukuh pengetahuan dan kompetensi warga akademik serta penyelidik melalui pendedahan kepada teknologi diagnostik terkini. Kerjasama bersama pihak industri seperti Biotek Abadi dan Bioer Technology juga berpotensi memperluas jaringan strategik antara universiti dengan industri, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi diagnostik.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha menyokong pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan pengukuhan kapasiti penyelidikan, selaras dengan aspirasi UKM untuk terus menerajui kecemerlangan ilmu dan inovasi dalam bidang perubatan dan kesihatan.