Bengkel Malaria & Filariasis 2026: Memperkasa Kemahiran Mikroskopi dan Diagnostik, Pertama Kali Dianjurkan di Malaysia

22–24 September 2026 | Cheras, Kuala Lumpur

Bengkel Malaria & Filariasis: Basic Microscopy & Diagnostic 2026 telah berlangsung selama tiga hari, dari 22 hingga 24 September 2026. Penganjuran bengkel ini merupakan satu inisiatif julung kali diadakan di Malaysia bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang mikroskopi asas serta diagnostik malaria dan filariasis.

Bengkel ini telah menghimpunkan seramai 26 orang peserta dari seluruh Malaysia, termasuk tiga orang peserta dari Indonesia. Penyertaan ini mencerminkan minat dan keperluan terhadap latihan khusus dalam teknik pemeriksaan mikroskopik serta kaedah diagnostik bagi penyakit bawaan parasit.

Antara tarikan utama bengkel ini ialah sesi kuliah yang disampaikan oleh pensyarah Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan yang berpengalaman, bersama penceramah jemputan. Sesi ini memberikan pendedahan teori berkaitan malaria dan filariasis sebagai asas kepada latihan praktikal yang dijalankan sepanjang bengkel.

Selain itu, peserta turut mengikuti sesi demonstrasi menggunakan slaid darah positif yang telah disediakan

dan diletakkan pada mikroskop untuk pemerhatian. Sesi ini memberi peluang kepada peserta mempelajari ciri-ciri parasit melalui pemeriksaan mikroskopik dengan bimbingan tenaga pengajar.

Bengkel ini turut menekankan pembelajaran secara praktikal melalui sesi hands-on, yang membolehkan peserta menyediakan apusan darah dan menjalankan proses pewarnaan slaid secara kendiri. Pendekatan ini memberi pengalaman secara langsung kepada peserta dalam mengaplikasikan teknik penyediaan spesimen yang betul bagi tujuan pemeriksaan makmal.

Bagi menilai keberkesanan latihan, sesi penilaian turut dilaksanakan untuk mengukur tahap pemahaman dan penguasaan peserta terhadap ilmu serta kemahiran yang dipelajari sepanjang bengkel berlangsung.

Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kompetensi tenaga kerja makmal dan pengamal kesihatan dalam bidang diagnostik malaria dan filariasis. Diharapkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam amalan kerja masing-masing, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti diagnosis dan pengurusan penyakit parasit di Malaysia dan rantau ini.