Ceramah Maulidur Rasul Sarat Penghayatan
3 September 2025 @ 05:00 ptg
Sambutan Maulidur Rasul kali ini berlangsung penuh syahdu melalui ceramah bertajuk “Air Mata Kerinduan Buat Kekasih Allah” yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Haji Abdullah Abdol Razak, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah. Dalam penyampaiannya, Ustaz Lah menekankan pentingnya menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui amalan seharian, akhlak terpuji serta penghayatan sirah baginda.
Majlis bertambah meriah dan menyentuh perasaan apabila ia diselang-selikan dengan alunan qasidah merdu daripada kumpulan Al-Busyra, yang berjaya membawa para hadirin menyelami rasa rindu dan cinta terhadap Nabi Muhammad SAW. Suasana majlis dipenuhi ketenangan, manakala ramai jemaah dilihat menitiskan air mata terharu sepanjang program berlangsung.






