EduVisit UniKL MESTECH Beri Pendedahan Kepada Pelajar dalam Bidang Parasitologi dan Entomologi

19 Mei 2026 | KUala Lumpur

Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan seramai 41 orang pelajar UniKL MESTECH bersama empat (4) orang kakitangan pengiring menerusi Program EduVisit yang diadakan pada 19 Mei 2026 (Selasa).

Program EduVisit merupakan program tahunan yang dianjurkan sebagai salah satu platform pembelajaran luar bilik kuliah, khususnya bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar UniKL MESTECH berkaitan bidang parasitologi dan entomologi perubatan. Melalui lawatan ini, para pelajar berpeluang melihat dengan lebih dekat spesimen, bahan pembelajaran serta kaedah pemerhatian yang berkaitan dengan protozologi, helminthologi dan entomologi.

Program dimulakan dengan sesi pembukaan dan taklimat ringkas kepada para pelajar mengenai perjalanan aktiviti serta pembahagian kumpulan. Para pelajar kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan sebelum bergerak ke tiga seksyen pembelajaran yang telah disediakan.

Sesi demonstrasi berlangsung selama kira-kira dua jam, dengan setiap kumpulan diperuntukkan masa selama 40 minit bagi setiap seksyen. Selepas 40 minit, kumpulan akan bergerak ke seksyen seterusnya sehingga melengkapkan kesemua tiga stesen pembelajaran, iaitu:

Seksyen A – Protozologi
Para pelajar diperkenalkan kepada protozoa yang mempunyai kepentingan dalam bidang perubatan serta didedahkan kepada ciri-ciri dan kaedah pemerhatian spesimen berkaitan.

Seksyen B – Helminthologi
Sesi ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian cacing parasit, termasuk aspek morfologi dan pengenalpastian yang berkaitan dengan bidang parasitologi perubatan.

Seksyen C – Entomologi
Para pelajar berpeluang mengenali serangga dan artropod yang mempunyai kepentingan dari sudut perubatan, termasuk peranannya sebagai vektor penyakit.

Pengisian secara demonstrasi dan pemerhatian secara langsung menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif, sekali gus membantu pelajar menghubungkan pengetahuan teori yang dipelajari dengan aplikasi sebenar dalam bidang parasitologi dan entomologi perubatan.

Selesai sesi demonstrasi, program diteruskan dengan sesi ulasan daripada para pelajar serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas kunjungan dan penyertaan. Program kemudiannya diakhiri dengan sesi fotografi kenangan sebelum para pelajar dan pengiring bersurai.

Penganjuran Program EduVisit ini diharap dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar serta meningkatkan minat dan pemahaman mereka terhadap bidang parasitologi dan entomologi perubatan. Pada masa yang sama, program ini turut menjadi platform kepada Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan untuk berkongsi kepakaran dan ilmu dalam suasana pembelajaran yang lebih praktikal dan interaktif.

Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan merakamkan penghargaan kepada pihak UniKL MESTECH atas kunjungan serta kerjasama yang diberikan dan berharap program EduVisit ini dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.