LAWATAN KOLABORASI PENYELIDIKAN DEPARTMENT OF HELMINTHOLOGY, MAHIDOL UNIVERSITY KE FAKULTI PERUBATAN UKM
29 Julai 2026 | Cheras
Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan delegasi daripada Department of Helminthology, Faculty of Tropical Medicine, Mahidol University, Thailand bagi lawatan kolaborasi penyelidikan yang berlangsung selama tiga hari, dari 27 hingga 29 Julai 2026.
Lawatan ini melibatkan seramai tiga orang delegasi dari Mahidol University dan bertujuan memperkukuh hubungan akademik serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, khususnya berkaitan parasitologi dan helminthologi.
Sepanjang lawatan, beberapa aktiviti akademik dan penyelidikan telah diadakan, termasuk perbincangan penyelidikan (Research Discussion) yang menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan, membincangkan hasil penyelidikan serta mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk kerjasama pada masa akan datang.
Delegasi turut berpeluang menyertai demonstrasi penyelidikan (Research Demonstration) bagi mendapatkan pendedahan secara langsung terhadap kaedah, teknik serta pendekatan penyelidikan yang dijalankan.
Selain itu, satu Research Sharing Session and Interaction turut diadakan bersama Assoc. Prof. Urusa Thaenkhom. Sesi ini menyediakan ruang interaktif untuk perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang penyelidikan, di samping menggalakkan perbincangan serta pertukaran idea antara penyelidik kedua-dua institusi.
Lawatan kolaborasi ini mencerminkan komitmen Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan dalam memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan di peringkat antarabangsa. Pertukaran kepakaran dan pengetahuan melalui lawatan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik, perkongsian kepakaran serta penghasilan penyelidikan yang berimpak pada masa akan datang.
Kerjasama antara UKM dan Mahidol University ini juga diharapkan dapat terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada perkembangan bidang perubatan tropika.