LAWATAN PEMERIKSA LUAR BAGI PEPERIKSAAN AKHIR IJAZAH DOKTOR PERUBATAN SESI AKADEMIK 2025/2026

14 Julai 2026 | Kuala Lumpur

Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan Prof. Dr. Hesham Makhyub Sarhan Al-Mekhlafi dari Universiti Malaya selaku Pemeriksa Luar bagi Peperiksaan Akhir Ijazah Doktor Perubatan bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Lawatan yang berlangsung dari 6 hingga 13 Julai 2026 ini merupakan sebahagian daripada proses penilaian dan jaminan kualiti akademik bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan akhir program Ijazah Doktor Perubatan sentiasa menepati standard serta amalan akademik yang ditetapkan.

Sepanjang lawatan, Prof. Dr. Hesham telah mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Dekan Prasiswazah, Prof. Dr. Norazlina Mohamed, bagi membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan program, sistem penilaian serta aspek akademik dalam pengendalian peperiksaan akhir.

Selain itu, beliau turut berkesempatan membuat lawatan dan pemerhatian terhadap pelaksanaan peperiksaan Objective Structured Clinical Examination (OSCE) dan Objective Structured Practical Examination (OSPE). Lawatan ini turut merangkumi sesi penandaan kertas peperiksaan sebagai sebahagian daripada proses semakan dan penilaian terhadap kaedah pentaksiran pelajar.

Dalam lawatan yang sama, Prof. Dr. Hesham turut dibawa melawat fasiliti-fasiliti jabatan bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai persekitaran pembelajaran, kemudahan akademik serta sokongan yang disediakan bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang perubatan.

Kemuncak lawatan turut diisi dengan sesi perkongsian dan interaktif (Sharing and Interactive Session) yang memberi ruang kepada warga akademik dan pelajar untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan perubatan dan bidang kepakaran.

Lawatan pemeriksa luar ini bukan sahaja menjadi platform bagi mendapatkan pandangan serta penilaian profesional daripada pihak luar, malah turut memperkukuh hubungan akademik dan kerjasama antara institusi pengajian tinggi. Perkongsian 

kepakaran dan pandangan yang diperoleh diharapkan dapat menyumbang kepada usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta kecemerlangan akademik program Ijazah Doktor Perubatan di UKM.