PROGRAM EKSPLORASI STEM: MENCUNGKIL BAKAT SAINTIS MUDA

19 Ogos 2026 | Galeri Parasitologi & Entomologi Perubatan

Program Eksplorasi STEM: Mencungkil Bakat Saintis Muda telah diadakan pada 19 Ogos 2026 dengan penglibatan seramai 120 orang pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (DTERM) bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam dunia penyelidikan dan inovasi.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti yang dirancang. Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan turut terlibat dalam menjayakan aktiviti STEM di galeri dengan penyertaan seorang pensyarah dan empat orang kakitangan jabatan.

Penglibatan jabatan dalam program ini bertujuan untuk memperkenalkan bidang sains dan penyelidikan kepada pelajar melalui aktiviti pembelajaran yang menarik serta memberi peluang kepada mereka meneroka ilmu sains dalam persekitaran akademik.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM, mencungkil potensi dan bakat saintifik dalam kalangan generasi muda serta mendorong mereka untuk meneroka peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang sains dan penyelidikan pada masa hadapan.