Pengenalan

Sejarah Perkembangan Program Seni Bina yang Ditawarkan oleh Jabatan Seni Bina

Idea pelaksanaan program seni bina di Universiti Kebangsaan Malaysia bermula sekitar tahun 1971. Persidangan Seminar Seni Bina Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan pada tahun tersebut telah membuat satu resolusi yang berbunyi:

“Untuk melaksanakan inspirasi kemahuan-kemahuan, objektif-objektif melahirkan seni bina Kebangsaan yang berteraskan unsur-unsur seni Melayu. Pengajian pesat dalam bidang ini mestilah dimulakan pada secepat mungkin. Satu fakulti seni bina yang lengkap perlu ditubuhkan di Universiti Kebangsaan di mana semua kemudahan kemudahan untuk memupuk pengajian boleh menjamin perkembangannya”.

Walau bagaimanapun, hasrat melaksanakan program pengajian seni bina di Universiti Kebangsaan Malaysia hanya dapat direalisasikan pada bulan November 2002. Ia ditempatkan di Fakulti Kejuruteraan dan Jabatan Seni Bina merupakan jabatan kelima yang bernaung di bawah fakulti ini. Pengambilan pelajar pertama telah dilaksanakan pada bulan Jun 2003 dan pada masa tersebut, program pengajian yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjanamuda Sains Seni Bina.

Menjelang bulan April 2005, Jabatan Seni Bina UKM telah menghasilkan graduan Ijazah Sarjanamuda Sains Seni Bina pertamanya seramai 17 orang . Pada bulan Jun 2005 juga, Jabatan Seni Bina buat pertama kalinya memperkenalkan kursus Ijazah Sarjanamuda Seni Bina bagi Kelayakan Bahagian II Lembaga Arkitek Malaysia.