Karnival Geosains UKM 2026

Program Geologi UKM telah berjaya menganjurkan Karnival Geosains UKM 2026 pada 9-11 Januari 2026, menarik penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
Acara dibuka pada 9 Januari 2026 dengan pertandingan inovasi “Water Filter Innovation Challenge” yang menyaksikan penyertaan 33 kumpulan daripada sekolah rendah, kolej matrikulasi, kor tentera, universiti tempatan dan juga universiti luar negara. Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi) tampil juara (Anugerah Emas) dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000 beserta hadiah daripada penaja utama, Geowater Sdn. Bhd. Kumpulan Universiti Sains Malaysia pula merangkul Anugerah Perak (RM1000) dan pasukan pencipta cilik dari SJK (T) Simpang Lima menerima Anugerah Gangsa (RM500).
Acara seterusnya, Pertandingan Mewarna, turut diadakan serentak dengan “Water Filter Innovation Challenge” bertempat di Bilik Aktiv Bangunan Sains Geologi. Pertandingan ini disertai 44 orang pelajar Tunas UKM.
Kemuncak Karnival Geosains UKM pada 10 Januari 2026 menampilkan 10 reruai permainan interaktif bertemakan geologi dan geosains yang terbuka kepada orang ramai, seperti Dam Sesar, GeoBatu Seremban, dan banyak lagi. Antara reruai yang banyak mendapat perhatian adalah reruai mendulang, dimana pengunjung dapat mencuba sendiri teknik mendulang bagi mendapatkan bijih.
Akhir sekali, acara utama Karnival iaitu Seminar Ahli Geologi Muda, berlangsung pada 10 dan 11 Januari 2026. Seminar yang diadakan buat kali ke-4 ini disertai 53 pembentang dan 3 pengucaptama. Seminar yang dijalankan dalam bentuk tiga sesi selari ini menampilkan pembentangan pelajar tahun akhir daripada UKM, DG UTP, USM dan Institut Teknologi Sumatera – ITERA . Seminar pada tahun ini juga lebih istimewa dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga yang turut hadir mendengar pembentangan anak-anak mereka.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada perasmi, Dekan Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (Official) Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad atas kesudian merasmikan majlis, dan juga Prof. Adjung Ir. Hj. Faudzi Mohd Yasir atas kesudian menghadiri dan merasmikan majlis penutup.
Program turut berterima kasih kepada penaja Karnival Geosains UKM 2026, seluruh tenaga kerja Jawatankuasa Penganjur, pelajar-pelajar Program Geologi UKM, alumni Program Geologi UKM dan semua yang hadir dari dalam dan luar negara bagi menjayakan Karnival ini daripada awal hingga akhir.
[Hebahan asal: FB Rasmi Program Geologi UKM]