Completely Disable Comments
Kolej Aminuddin Baki (KAB) komited dalam memperluas horizon pendidikan global melalui pelaksanaan program mobiliti antarabangsa yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Antara negara yang telah menjadi destinasi lawatan akademik dan budaya termasuk Vietnam (2023), Indonesia (2024) dan China (2025) — di mana pelajar serta staf KAB berpeluang meneroka kepelbagaian sistem pendidikan, budaya tempatan dan inisiatif kelestarian di peringkat antarabangsa.
Kolej Aminuddin Baki (KAB) sentiasa proaktif dalam memperkukuh jaringan global melalui program mobiliti antarabangsa yang berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan selari dengan usaha menyumbang ke arah penarafan dunia
Antara fokus utama program Mobiliti Luar Negara ini adalah dengan memberi tumpuan kepada aspek seperti SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui aktiviti seperti kerjasama institusi, bengkel kelestarian, serta lawatan ke fasiliti hijau dan komuniti lestari. Pendekatan ini secara langsung menyokong usaha ke arah kampus hijau, kecekapan sumber, mobiliti rendah karbon dan pemerkasaan komuniti global.
Melalui inisiatif ini, KAB memperkukuh kedudukannya sebuah kolej akademia yang bukan sahaja cemerlang dalam pembangunan modal insan, tetapi juga peneraju dalam memupuk budaya mampan dan kesedaran alam sekitar di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Kolej Aminuddin Baki (KAB) terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 5 (Kesamarataan Gender), satu program mobiliti luar negara telah dilaksanakan di Universiti Ton Duc Thang (TDTU), Vietnam pada 9 Ogos 2023. Program ini memberi fokus kepada kajian kolaboratif bertajuk “Perbandingan Kadar Kemiskinan Haid Dalam Kalangan Mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia dan Mahasiswa/i di Universiti Ton Duc Thang Vietnam (TDTU).”
Kemiskinan haid, yang merujuk kepada kesukaran mendapatkan keperluan asas pengurusan haid seperti tuala wanita, produk kebersihan dan kemudahan sanitasi, merupakan isu kesihatan awam yang semakin mendapat perhatian global. Kajian ini melibatkan pengumpulan data kualitatif dan kuantitatif melalui temubual, soal selidik serta diskusi kumpulan bersama pelajar kedua-dua universiti. Hasil perbandingan mendapati wujudnya perbezaan ketara dalam tahap kesedaran, akses kepada produk haid yang mampu milik, serta sokongan institusi terhadap isu ini antara Malaysia dan Vietnam.
Selain aspek akademik, program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memupuk kepekaan sosial dan budaya dalam kalangan peserta.
Program ini selaras dengan aspirasi KAB untuk melahirkan pemimpin pendidikan yang cakna, inklusif dan berperanan aktif dalam memacu perubahan sosial berteraskan nilai kelestarian dan kemanusiaan sejagat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memperkukuh jaringan pendidikan global, satu program mobiliti antarabangsa telah dilaksanakan di Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia. Bertemakan “Transformasi Kesedaran: Peranan Mahasiswa dalam Kelestarian Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Gadjah Mada”, pada 30 Julai 2024 sehingga 4 Ogos 2024.
Program ini menghimpunkan mahasiswa kedua-dua universiti dalam sebuah wacana intelektual dan praktikal yang menjurus ke arah tindakan lestari. Selain itu, program ini menfokuskan kepada SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat), melalui siri aktiviti seperti seminar silang budaya, lawatan ke fasiliti hijau UGM, diskusi panel bersama aktivis alam sekitar, dan projek kolaboratif komuniti lestari.
Mahasiswa KAB dan UGM bersama-sama membincangkan cabaran serta peluang dalam memperkasakan kesedaran dan tindakan terhadap pemeliharaan alam sekitar di kampus masing-masing. Antara topik utama yang diketengahkan termasuk pengurusan sisa lestari, mobiliti rendah karbon di kampus, penglibatan komuniti dalam inisiatif hijau, serta pendekatan pendidikan alam sekitar dalam kurikulum universiti.
Pengalaman ini telah berjaya merangsang transformasi kesedaran mahasiswa, memperkukuh nilai kepimpinan hijau dan memupuk jalinan erat antara dua institusi ternama serantau. Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat menjadi kampus hijau bertaraf dunia.
KAB akan terus memperluas inisiatif mobiliti seperti ini sebagai pemangkin kepada pendidikan transnasional yang bertanggungjawab, lestari dan berimpak tinggi.
Kolej Aminuddin Baki (KAB) bakal melaksanakan satu program mobiliti antarabangsa yang berimpak tinggi di Universiti Zhejiang, China, dengan tema “Pembangunan Mampan: Strategi Pengurangan Jejak Karbon dan Peranan Kesukarelawanan dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)”. Ia akan berlangsung pada 30hb Julai sehingga 4hb Ogos 2025.
Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan China dalam mendepani cabaran global berkaitan perubahan iklim dan kelestarian.
Sepanjang program, delegasi KAB akan diberi pendedahan langsung kepada pelbagai inisiatif lestari yang dilaksanakan di Zhejian Universiti termasuk sistem pengurusan tenaga rendah karbon, reka bentuk bangunan hijau, amalan pengangkutan mesra alam, serta penyelidikan berfokuskan tenaga boleh baharu. Pengisian ini secara langsung menyokong SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).
Program ini juga menepati beberapa kriteria utama khususnya dari segi pendidikan dan penyelidikan kelestarian, penglibatan komuniti, serta mobiliti rendah karbon, menjadikan usaha ini selari dengan aspirasi universiti hijau yang holistik dan global.
Keseluruhannya, program ini bakal membina jalinan strategik antara dua negara dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing global, celik iklim dan komited terhadap pembangunan mampan sejagat.
Sumber: https://sdgs.un.org/goals
Sumber: https://sdgs.un.org/goals
SDG KEYWORDS: CLICK HERE