LESTARI UKM Perkasa Penulisan Jurnal Berwasit melalui penganjuran Bengkel : Navigating Academic Publishing: Writing for Peer-Reviewed Journals

Jurnal merupakan salah satu bentuk penerbitan yang penting dalam menghebahkan hasil penyelidikan bukan sahaja kepada ahli akademik atau komuniti saintifik itu sendiri malah kepada pihak kerajaan, swasta dan industri. Justeru, menghasilkan satu penulisan jurnal yang baik, mantap dan berkualiti adalah asas yang amat penting agar ia mudah difahami dan memberi impak yang sewajarnya kepada yang berkepentingan.

Di LESTARI, pelajar siswazah perlu menghasilkan penerbitan dalam 3 bentuk jurnal hasil daripada penyelidikan yang mereka jalankan. Selain daripada itu, penerbitan jurnal juga merupakan salah satu syarat yang perlu dipenuhi oleh pelajar untuk bergraduat. Dalam hal ini, selain memenuhi syarat bergraduat adalah penting jurnal yang dihasilkan adalah berkualiti dari segi isi kandungan, gaya penyampaian dan yang lebih penting perlu melalui proses pentasyihan serta diterbitkan dalam jurnal yang mempunyai reputasi yang baik sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Namun pelajar memerlukan satu asas yang baik untuk memahami mengapa dan bagaimana menerbitkan hasil penyelidikan yang berkualiti dalam jurnal. Atas dasar tersebut, Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) mengambil initiatif untuk menganjurkan Bengkel : Navigating Academic Publishing: Writing for Peer-Reviewed Journal.

Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada penerbitan ilimiah dalam jurnal berwasit serta membangunkan kemahiran pelajar dalam penulisan ilmiah serta proses penerbitan artikel dalam jurnal yang diiktiraf dan bereputasi tinggi.

Bengkel ini telah berjaya dianjurkan dengan penuh manfaat dan inspirasi dari 22 hingga 23 Disember 2025 yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Saiful Arif Abdullah. Beliau telah berkongsi ilmu yang bernas dan memberikan pencerahan yang sangat bermakna kepada seramai 15 pelajar LESTARI yang hadir. Walaupun bengkel ini diadakan pada tarikh yang menghampiri musim perayaan natal, pelajar tetap hadir dan memberikan komitmen penuh serta ada yang sanggup melakukan perjalanan yang jauh demi menimba ilmu pengetahuan.

Semoga segala perkongsian ilmu dari bengkel ini dapat memberikan pendedahan yang jelas tentang landskap penerbitan akademik serta memperkukuh kefahaman, kemahiran penulisan, dan keyakinan peserta untuk menghasilkan manuskrip berkualiti bagi jurnal berwasit. Ianya diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penerbitan akademik dalam kalangan peserta.

Laporan disediakan oleh
Ku Adriani Ku Ayob & Prof. Madya Dr. Saiful Arif Abdullah