Diskusi KASES 1/2025 : Peranan Akademik dan Saintis untuk Perlaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia

Diskusi KASES merupakan satu pentas untuk menyebarkan idea, pemikiran, hasil penyelidikan dan juga pengalaman oleh para akademik, penyelidik dan juga masyarakat awam mengenai sesuatu isu atau subjek dalam konteks kelestarian dan pembangunan lestari. Pada tahun 2023, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed telah membuka tirai Diskusi KASES 2023 dengan memberikan ceramah bertajuk Membina Bandar Berdayahuni di Malaysia: dari Konsep ke Pelaksanaan.
Pada tahun ini, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed sekali lagi menjadi akademik pertama yang membuka tirai Diskusi KASES 2025 dengan memberikan ceramah bertajuk Peranan Akademik dan Saintis untuk Perlaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia. Diskusi ini diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI UKM pada 15 April 2025 bermula dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari.
Antara perkara penting yang dikongsikan oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed dalam diskusi pada kali ini adalah
1. Konsep Ekonomi Kitaran yang memfokuskan kepada inisiatif bagi memastikan ketersediaan sumber asli yang terhad bagi memenuhi keperluan industri dan pengguna yang mana jauh lebih baik dari Konsep Ekonomi Linear yang menyebabkan kekurangan sumber dan menggalakkan pembaziran sumber.
2. Tiga prinsip asas Ekonomi Kitaran adalah
-
- Hapuskan sisa dan pencemaran: Spesifikasi untuk mana-mana reka bentuk produk bagi memastikan sumber memasuki semula ekosistem ekonomi kitaran pada akhir penggunaannya.
- Menjana semula alam: Model perniagaan yang berfungsi merujuk kepada pengurusan sumber lestari menggunakan prinsip ekonomi kitaran.
- Mengitar semula produk dan sumber bahan pada nilai tertinggi: Menyimpan sumber bahan yang digunakan sama ada sebagai produk atau apabila tidak boleh digunakan lagi sebagai komponen atau bahan mentah.
3. Peranan akademik dan ahli sains
-
- Mencipta Idea, Membangun, Membina, Menyebarkan, Meningkatkan pengetahuan dan teknologi bagi menyokong keperluan dinamik bagi pelaksanaan Ekonomi Kitaran
- Pengajaran dan pembelajaran dalam subjek yang menyokong pelaksanaan Ekonomi Kitaran
- Melahirkan graduan dari pelbagai bidang untuk menyokong Ekonomi Kitaran terutamanya dalam bidang teknologi, kejuruteraan, ekonomi, sosial, alam sekitar, undang-undang yang penting untuk pelaksanaan Ekonomi Kitaran.
- Penyelidikan dan Pembangunan yang dijalankan meliputi bidang yang luas yang diperlukan untuk Ekonomi Kitaran.
- Teknologi untuk Ekonomi Kitaran, termasuk reka bentuk produk mesra alam (Design for Environment), teknologi pemulihan sisa untuk pengembalian sumber, teknologi penggantian bahan, sisa sebagai sumber dan produk.
- Memahami isu-isu dan cadangan pelan tindakan pelaksanaan Ekonomi Kitaran dengan merujuk kepada keperluan sosial, perundangan dan ekonomi.
- Perantara Pemasaran dan promosi untuk produk berteraskan Ekonomi Kitaran dengan kerjasama Agensi Kerajaan, industri dan syarikat swasta serta pengguna.
- Pemudahcara dan pelaksana aktiviti perkongsian pengetahuan dan teknologi untuk promosi Ekonomi Kitaran, termasuk perkongsian tatacara, teknologi, kesedaran dan pemantapan amalan pengasingan sisa dan 3R untuk menyokong pelaksanaan Ekonomi Kitaran.
4. Initisiatif Institusi Pengajian Tinggi
-
- Inisiatif Kampus Lestari, telah menonjolkan pelaksanaan dan amalan Konsep Kitaran Ekonomi. Ini menjadikan Institusi Pengajian Tinggi menjadi contoh kepada Masyarakat Malaysia.
- Inisiatif terkini, penyertaan sebahagian besar universiti Malaysia didalam sistem penarafan yang mengutamakan amalan kelestarian untuk Pembangunan Lestari:
- UI GreenMetric
- Times Higher Education Sustainability
- Sistem penarafan global ini menilai dan mempromosi inisiatif kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh universiti.
Di akhir Diskusi, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed mengingatkan bahawa semua Akademik dan Ahli Sains memainkan peranan penting dalam membina, membangun, menyampai, memantapkan pengetahuan dan teknologi yang penting untuk Ekonomi Kitaran.
Beliau menyeru agar Akademik dan Ahli Sains, Agensi Kerajaan, Industri, Syarikat Swasta, Masyarakat dan NGO berkerjasama dalam mempromosikan serta melaksanakan Ekonomi Kitaran di Malaysia terutamanya dalam membina dan menyampaikan pengetahuan, penggunaan teknologi, galakkan aktiviti ekonomi dan inisiatif sosial kepada umum.
Laporan disediakan oleh
Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed dan Puan Ku Adriani

