Diskusi KASES 2/2025 : Social Impact Assessment – Managing Potential Social Consequences of Development Projects, Policies and Plans in Malaysia – TPr. Herlina Ab. Aziz, Presiden MSIA

30 September 2025 – Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) meneruskan tradisi keilmuan melalui penganjuran Diskusi KASES 2/2025 bertajuk Social Impact Assessment – Managing Potential Social Consequences of Development Projects, Policies and Plans in Malaysia yang diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI, UKM bermula dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Diskusi ini dikendalikan oleh Dr. Rospidah Ghazali selaku moderator manakala penceramah jemputan adalah TPr. Herlina Ab. Aziz, Presiden – Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MSIA). Beliau telah memegang Presiden MSIA sejak tahun 2019 dan memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan memperkukuh pelaksanaan SIA di Malaysia. Selain dari itu, beliau juga merupakan Perancang Bandar bertauliah dan Pakar Perlindungan Sosial yang berpengalaman luas di Malaysia dan Indonesia.

Intipati Diskusi ini adalah bertumpu kepada kepentingan SIA dalam memastikan projek pembangunan, perancangan dan dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial. SIA mengenal pasti kesan positif dan negatif sesuatu projek terhadap kehidupan penduduk setempat, termasuk aspek sosial, ekonomi, budaya dan kesihatan. Melalui SIA juga, pihak pemaju dan kerajaan dapat memahami kebimbangan masyarakat yang mungkin terkesan — seperti isu penempatan semula, kehilangan sumber pendapatan, atau perubahan gaya hidup sekaligus dapat merancang langkah mitigasi yang sesuai.

Seramai 30 peserta daripada pelbagai agensi hadir termasuklah pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pegawai dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia@Selangor), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ahli Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia(MSIA) serta pegawai dari syarikat perunding perancangan dan kejuruteraan.

Penganjuran Diskusi KASES ini merupakan aktiviti hasil kerjasama rasmi antara Pusat KASES dan MSIA yang telah dimeterai melalui Surat Hasrat (LoI) antara LESTARI UKM dan MSIA yang telah ditandatangani pada 15 May 2025.

Laporan oleh
Ku Adriani Ku Ayob