KESUKMA

 Kesatuan Kakitangan Am UKM

CUEPACS HARAP KERAJAAN SERAP PEKERJA KONTRAK KE JAWATAN TETAP

>

Bernama
19/6/2012

TEMERLOH, 19 Jun (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat menyerapkan 60,000 kakitangan kontrak perkhidmatan awam ke jawatan tetap dan berpencen.

Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pelantikan ke jawatan tetap itu dilihat akan memberi jaminan masa depan kepada mereka selain dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam.

“Cuepacs berharap kerajaan dapat mengambil tindakan seberapa segera untuk menyerapkan mereka ini ke jawatan tetap,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Datuk Tariff Abdul Rahman menerusi Program Turun Padang bagi menyelami masalah anggota Cuepacs dan Kesatuan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULEA) di sini pada Selasa.

Mengenai program turun padang, Azih berkata pihaknya telah mengunjungi lebih 20 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pantai timur bagi menyampaikan masej penting yang perlu dilaksana secara bersama antara pekerja dan majikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Ketua Setiausaha Negara baru yang bakal menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan bersara pada 23 Jun ini, dapat meneruskan kerjasama yang baik dan erat dengan kesatuan itu.

— BERNAMA