KESUKMA

 Kesatuan Kakitangan Am UKM

PERLANTIKAN DR ALI HAMSA SEBAGAI KSN DI HARAP DAPAT MANTAPKAN HUBUNGAN PEKERJA DENGAN KERAJAAN

>

Bernama
20/6/2012

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap pelantikan Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam negara sekaligus menjayakan program transformasi kerajaan.

Setiausaha Agung Cuepacs Lok Yim Pheng berkata kongres itu juga menyambut baik pelantikan Ali yang merupakan Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

“Kami harap dengan pelantikan ini hubungan antara pekerja dengan kerajaan akan bertambah baik dan harmoni,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata Cuepacs berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ali dalam tempoh terdekat.

Pelantikan Ali sebagai KSN berkuatkuasa mulai 24 Jun 2012. Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.

Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Lok turut mengucapkan penghargaan kepada Mohd Sidek di atas segala sumbangan beliau kepada sektor awam amnya serta kakitangan kerajaan khususnya.

— BERNAMA