KESUKMA

 Kesatuan Kakitangan Am UKM

RAHIM MENDUDU DEMI ARASH

>

Utusan Malaysia
Abdul Rahim tidak kekok menyediakan sarapan sebelum anaknya pergi ke sekolah.Sebagaimana bapa-bapa lain, Abdul Rahim Sirat, 44, amat menantikan tibanya Hari Bapa yang disambut pada setiap Ahad minggu kedua bulan Jun.Baginya hari berkenaan amat istimewa apabila pada masa itu anaknya, Mohamad Arash (Arash), 13, akan menghadiahkan ciuman buatnya sebelum memberikan sekeping kad buatan sendiri dengan ucapan selamat untuknya.”Seterusnya kami akan ke kedai dan makan bersama untuk meraikan hari itu,” katanya sambil memandang anaknya dengan penuh rasa sayang.Bagi Abdul Rahim semenjak kematian isterinya, Kartina Wadi, 14 tahun lepas, dia mengambil-alih rutin isterinya itu seperti memasak, mengemas rumah serta memastikan Arash terjaga kebajikannya.Dia yang ditemui di rumahnya di Beranang, Selangor, baru-baru ini, bercerita bagaimana dia dan isteri dipertemukan oleh keluarga dan kemudian dinikahkan pada tahun 1998.
 
“Pendek kata saya dan arwah isteri mula bercinta selepas kami berkahwin. malangnya dia yang berusia sepuluh tahun lebih tua dari dijemput Ilahi akibat sakit jantung. Ketika itu usia Arash baru mencecah dua tahun,” katanya.Abdul Rahim berkata, memandangkan anaknya masih kecil dan memikirkan perlunya perhatian seorang ibu, dia mengambil keputusan untuk berkahwin semula ketika Arash berusia lima tahun.Sebelum itu, dia banyak dibantu oleh ibunya yang tinggal di Beranang, Selangor untuk menjaga Arash sepeninggalannya ke tempat kerja.
“Namun perkahwinan kali kedua itu hanya bertahan lima bulan kerana bekas isteri saya itu tidak boleh menerima Arash dalam hidupnya. 
“Dia suka memukul Arash menyebabkan saya mengambil keputusan untuk bercerai dan menjaga Arash sendiri tanpa mengharapkan sesiapa,” katanya yang bertugas di bahagian landskap di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.Apabila ditanya adakah Arash tidak pernah menyebut untuk mempunyai ibu sebagaimana rakan-rakan lain, Abdul Rahim menjelaskan mungkin anaknya itu fobia dengan pengalaman beribu tiri menyebabkan dia tidak pernah mengharapkan ayahnya berkahwin lagi.Bagi Abdul Rahim, dia juga mengakui hatinya agak tertutup untuk berkahwin lagi buat masa ini kerana mahu menumpukan perhatian terhadap anaknya.”Tidak tahulah pada masa akan datang apabila Arash sudah besar dan sudah pandai menjaga diri sendiri. Buat masa ini biarlah saya menjaganya kerana apa-apa yang berlaku dia di bawah pengawasan saya,” katanya.Dalam pada itu apabila ditanya tidakkah hatinya berasa sunyi kerana tidak diisi dengan kasih sayang seorang isteri sejak sekian lama, dia berkata, kadangkala ada juga, namun semua itu dipendam dalam lubuk hatinya.
Jika ada masa terluang, Abdul Rahim akan keluar berjalan-jalan dengan rakan-rakan untuk memastikan masanya terisi.Waima apa pun yang dilakukan, pada setiap cuti sekolah Abdul Rahim akan membawa anak tunggalnya itu bersama-sama melakukan aktiviti.”Kami sebenarnya tidak pernah berenggang. Anak saya minat sukan malah seorang pemain futsal di sekolah manakala saya minat bidang seni. Sekiranya ada latihan futsal saya akan menemani anak saya dan sekiranya saya ada jemputan melihat teater atau konsert, saya akan bawa dia bersama,” katanya.Apabila ditanya mengenai rutin hariannya, Abdul Rahim berkata, setiap pagi dia akan bangun lebih awal untuk menyiapkan sarapan sebelum menghantar Arash ke Sekolah Integrasi Beranang dan terus ke tempat kerja.”Jam 5 petang Arash akan balik ke rumah ibu saya di Beranang dan pada pukul 5.30 petang saya akan mengambilnya balik ke rumah selepas habis kerja.
“Sampai di rumah saya akan masak makan malam, mengemas rumah, membasuh baju, mengemop lantai sehingga selesai semua urusan sebelum menemani Arash membuat kerja rumah kemudian tidur,” jelasnya.