Kunjungan Rasmi Akademik dan Penandaarasan Program Pascasiswazah UMSFLEC, 8 Disember 2025

Pada 8 Disember 2025 (Isnin) jam 2.30 petang, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menerima kunjungan rasmi dari Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS). Objektif utama lawatan ini adalah untuk memahami dengan lebih dekat tatacara dan pelaksanaan pengakreditasian program pascasiswazah di KITA, di samping meneroka peluang kerjasama strategik menerusi Kursi Tun Dr. Ismail serta jaringan Global Malaysian Studies Network (GMSN).
Delegasi UMSFLEC yang diketuai oleh Prof. Madya Wan Shawaluddin Wan Hassan dan terdiri daripada Puan Marja Azlima Omar, Dr. Hafiza Nur Adeen Nor Ahmad serta Encik Abdul Bari Uzair bin Abd Razak telah disambut oleh Pengarah Pengasas KITA, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan warga KITA yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta jaminan kualiti program siswazah iaitu Dr. Nur Atiqah Tang Abdullah (Ketua Jaminan Kualiti), Dr. Shazlin Amir Hamzah (Penyelaras Program Pengajian Siswazah), Dr. Mohd Shaiful Ramze Endut (Pengurus KTDI dan Penyelaras GMSN) dan Prof. Madya Dr. Zaini Othman. Turut hadir pada sesi pertemuan tersebut adalah Ketua Pentadbiran KITA Puan Nor Eloni Nor Azmi, Pegawai Tadbir Puan Nurhezreen Othman dan Pembantu Penyelidik GMSN Encik Fakhrurraziey Azrimi.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini membuka ruang kolaboratif yang bermakna serta memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua institusi. Ia turut menjadi titik mula dalam meneroka peluang kerjasama penyelidikan, pembangunan akademik dan pengantarabangsaan pada peringkat kebangsaan dan global.
Nota: Aktiviti ini meyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari aspek SDG4 dan SDG16.
