KOLEJ RAHIM KAJAI

 "Perpaduan Asas Keharmonian"

Talk with KajaiTV : Siapa Itu Rahim Kajai?

18 Disember : Talk with KajaiTV siri pertama ini menceritakan tentang siapakah Rahim Kajai. Siri ini dibawakan oleh saudara Muhammad Yamin selaku ahli biro Multimedia dan ICT.
Abdul Rahim Kajai atau nama sebenarnya Abdul Rahim bin Haji Salim, beliau merupakan Bapa Kewartawanan Melayu. Beliau dilahirkan pada tahun 1894 dan meninggal dunia pada 5 Disember 1943 pada usia 49 tahun. Beliau mendapat pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Setapak, Kuala Lumpur. Beliau mula berkhidmat sebagai wartawan pada tahun 1925 di akhbar mingguan Edaran Zaman yang berpusat di Pulau Pinang.
Selepas itu, beliau berpindah ke akhbar Saudara pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi. Dalam penulisannya ketika itu, beliau menggunakan nama pena “Abdul Rahim Kajai”. Kajai adalah nama sebuah kampung di Minangkabau, Sumatera, iaitu kampung halaman ibubapanya.
Pada tahun 1931, Abdul Rahim menjadi Pengarang untuk akhbar Majlis. Dari situ, beliau berpindah pula ke akhbar Warta Malaya juga sebagai Pengarang. Pemilik Warta Malaya, Syed Husin al-Sagaf kemudiannya menerbitkan dua majalah, iaitu Warta Ahad dan Warta Jenaka dan Abdul Rahim ditugaskan untuk menulis rencana pengarangnya dan juga cerita-cerita humor untuk kedua-dua majalah itu.
Abdul Rahim pernah juga berkhidmat di Utusan Melayu dan Utusan Zaman sebagai Pengarang. Begitu juga sebagai Pengarang majalah Mustika (sekarang di sebut Mastika). Pada tahun 1943 semasa Perang Dunia II, Abdul Rahim bertugas di akhbar Berita Malai. Dalam hidupnya, beliau pernah mengarang 48 buah cerpen dengan pelbagai tema.