Pengenalan & Sejarah Penubuhan Kolej

 

Kolej Tun Hussein Onn dahulunya dikenali sebagai Kamsis (Kampung Siswa) Dato’ Onn II sehingga tahun 1990, lalu ditukarkan nama kepada Kamsis Tun Hussein Onn. Selaras dengan penstrukturan semula Kamsis ini kemudiannya dikenali sebagai Kolej Tun Hussein Onn. Penggunaan nama Tun Hussein Onn adalah kerana penglibatan beliau dalam bidang ketenteraan serta sumbangan beliau selaku pejuang maruah bangsa. Oleh itu, penggunaan nama Tun Hussein Onn adalah amat sesuai dengan kolej ini yang merupakan kolej kediaman Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

 

tunTun Hussein Onn

 

Setelah tamat persekolahan, Allahyarham telah menyertai Johor Military Forces sebagai kadet pada tahun 1940 dan kemudiannya dihantar ke Dehra Dun, India untuk melaporkan diri di Indian Military Academy. Sewaktu menjalani latihan, beliau menumpukan minat pada Indian Army dan telah berkhidmat di Timur Tengah semasa Perang Dunia Kedua meletus. Pengalaman beliau yang meluas dalam bidang peperangan ini telah menarik minat pihak British untuk melantik beliau sebagai Instruktor di Malayan Police Recruiting and Training Centre di Rawalpindi.

 

Berpegang kepada cogan kata “Disiplin Asas Kecemerlangan” kolej ini merupakan penempatan khas bagi pelajar yang menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan pada masa yang sama juga didiami oleh para pelajar yang bukan PALAPES tetapi aktif dalam pelbagai bidang. Kolej Tun Hussein Onn mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 720 orang pelajar. Kolej ini juga menjadi pilihan pelajar ramai kerana lokasinya yang amat strategik berdekatan dengan pusat-pusat pentadbiran, fakulti, masjid, DECTAR, dan kemudahan rekreasi universiti.

 

Bagi melicinkan pengurusan dan pentadbiran, kolej ini diketuai oleh seorang Pengetua, Timbalan Pengetua, Penolong Pengurus bersama 6 orang kakitangan sokongan. Aktiviti kolej turut dibantu oleh 9 orang Felo Penghuni, dan 17 orang Majlis Eksekutif Pelajar (MEP). Demi menjayakan program akademik kolej, seorang tutor akademik dilantik sebagai Felo Akademik serta seorang pegawai PALAPES yang dilantik sebagai Penyelaras PALAPES di kolej.