MEDAN RETORIKA: ARENA PEMIKIR MUDA DITEMPA

Kelab Wadah Rakan Ilmu Siswa (WARIS), Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Program Medan Retorika buat julung kalinya bagi sesi 2025/2026 pada 29 NOVEMBER 2025. Tema “Dari Seni ke Tindakan” yang dipilih adalah amat bersesuaian dengan objektif utama penganjurannya iaitu membina sebuah generasi pelajar yang berfikiran kritis dan berkarisma tinggi melalui medan latihan debat yang komprehensif. Program ini juga turut diserikan dengan kehadiran dari pihak Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Encik Ezly bin Marzuki dan Unit Pengucapan Umum (UPU) UKM iaitu Encik Muhamad Badrul Naim bin Mohd Besri dan Encik Muhammad Iman bin Azhar yang dijemput khas bagi bersama-sama memeriahkan program ini.   

Medan Retorika 2025 ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dari Kelab WARIS 25/26 dan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Prof Madya Dr. Mohd Razif bin Shahril, selaku pengetua Kolej Tun Syed Nasir, UKM. Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih daripada 120 orang  peserta yang terdiri daripada pihak pentadbiran, barisan felo dan juga pelajar Kolej Tun Syed Nasir. 

Antara pengisian menarik dalam program Medan Retorika ialah pelaksanaan Aktiviti Interaktif, di mana peserta bergerak mengikut tiga stesen utama iaitu Sale Promoter, Pitching dan Beyond Court. Setiap stesen memberikan ruang kepada peserta untuk menonjolkan kreativiti, keyakinan serta kemampuan berfikir secara pantas sambil berentap sesama kumpulan dalam suasana yang mencabar namun menyeronokkan. Program turut diserikan dengan perkongsian eksklusif daripada pihak MADUM yang menerangkan format perdebatan sekali gus membuka perspektif baharu kepada peserta tentang dunia perdebatan sebenar di peringkat IPT. Mengakhiri pengisian, program menampilkan Cabaran Bahas, iaitu pertandingan debat antara dua kumpulan terbaik yang mempamerkan keupayaan berhujah secara profesional mengikut format yang ditetapkan. Cabaran ini bukan sahaja menghidupkan suasana pertandingan sebenar, malah menonjolkan potensi pelapis debat yang berwibawa dan bersedia ke pentas perdebatan yang lebih tinggi.

Akhirnya, program diakhiri dengan penyampaian Anugerah bagi dua kumpulan terbaik, yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang Cabaran Bahas. Dalam pada itu, Anugerah Pendebat Terbaik telah diberikan kepada Jasmine Kamelia binti Nor Azman sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan kemahiran berhujah sepanjang program.

pastedGraphic.pngJasmine Kamelia binti Nor Azman, Pendebat Terbaik Medan Retorika 2025 – Sumber Foto, Exco Multimedia WARIS KTSN Foto, Exco Multimedia WARIS KTSN

Program ini turut menyokong matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan menekankan kepentingan pendidikan yang menyeluruh dan saksama melalui pendedahan kepada kemahiran debat, pemikiran kritis dan komunikasi berkesan, serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua melalui aktiviti interaktif, perkongsian pengalaman dan Cabaran Bahas.