PENGETUA

MEJAR BERSEKUTU (PA) DR. SHAZLI EZZAT BIN HJ. GHAZALI

Pengetua,
Kolej Tun Syed Nasir,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Shazli Ezzat Ghazali adalah salah seorang pengasas Unit Psikologi Kesihatan yang kini dikenali sebagai Program Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM.  Beliau adalah pensyarah kanan dan juga kini memegang jawatan pentadbiran sebagai Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, UKM mulai 2015 hingga kini.  Beliau juga merupakan Ketua Pemasaran dan Promosi di Fakulti Sains Kesihatan, UKM sejak 2014- 2015 di samping pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua, Unit Psikologi Kesihatan sejak 2001-2008.  Beliau juga adalah pensyarah pertama dalam bidang psikologi di Fakulti Sains Kesihatan, UKM dan bertanggungjawab mengembangkan bidang psikologi kesihatan di Fakulti.  Beliau juga telah berjaya menjenamakan program Sarjana Psikologi Klinikal, menjadi pengasas kepada Klinik Psikologi Kesihatan dan terlibat secara langsung kepada pembangunan dan perkembangan korikulum program psikologi peringkat prasiswazah di Fakulti.

Dr. Shazli Ezzat memperolehi ijazah pertama dalam bidang Komunikasi Massa di UiTM dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Psikologi Industri dan Organisasi di UKM.  Beliau seterusnya memperolehi Diploma Siswazah dalam bidang Psikologi Kesihatan serta Sarjana Penyelidikan dalam bidang Psikologi di Universiti of Aberdeen, Scotland.  Pada tahun 2015, beliau menamatkan pengajian PhDnya dalam bidang Psikologi di UKM.

Selain itu, Dr. Shazli Ezzat juga dilatih untuk menilai kecelaruan fizikal pesakit strok di samping mengukur pemulihan fizikal menggunakan ramalan psikologi dalam kalangan pesakit strok.  Beliau merupakan satu-satunya ahli psikologi kesihatan di Malaysia yang memfokuskan pemulihan fungsi fizikal pesakit strok menggunakan kaedah psikologi. Minat penyelidikan beliau adalah di dalam meningkatkan pemulihan fungsi fizikal pesakit strok dengan mengambil kira ramalan psikologi.  Beliau juga aktif terlibat dalam media massa antaranya Rancangan 999, TV3, akhbar serta radio tempatan.  Kini beliau telah dilantik sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) sesi 2019-2021.