KOLEJ TUN SYED NASIR

 Universiti Kebangsaan Malaysia

SEJARAH

Bangunan di sekitar Kolej Tun Syed Nasir pada awalnya beroperasi sebagai Asrama Klinikal UKM sejak 1 Oktober 1977. Pada 1 Jun 1978, pembinaan kamsis telah dijalankan di Jalan Temerloh Kuala Lumpur  sehingga 28 Jun 1982, di mana kamsis ini yang dinamakan sebagai Kamsis Tun Dr. Ismail telah dibuka secara rasminya. Nama kamsis ini diberi bersempena dengan nama Tun Dr. Ismail bin Dato Hj. Abdul Rahman yang banyak menyumbang dan menabur bakti kepada tanah air. Pada 19 Ogos 2000 pula, kamsis ini dinamakan semula sebagai Kolej Tun Syed Nasir. Konsep Kolej Akademia telah pun diperkenalkan di Kolej Tun Syed Nasir pada 26 Mei 2021. 

Kolej ini mempunyai 9 blok kediaman, iaitu blok A, B, C, D, E, F, G, H, J dan pangsarama Blok 6. Setiap blok mempunyai felo pemantau dan MEP pemantau masing-masing untuk menjaga kebajikan penghuni di samping menjadi perantaraan antara para pelajar dengan pihak pengurusan. Para penghuni KTSN terdiri daripada pelbagai bidang akademik, iaitu bidang farmasi, pergigian dan sains kesihatan.

Kolej ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi menjamin kebajikan dan keselesaan para penghuninya. Antaranya adalah kafe, pusat sumber, bilik kebudayaan, Toh Puan, K-shop, bilik rawatan BSMM, padang bola sepak, gelanggang bola jaring, gelanggang skuasy, gelanggang tenis, gelanggang badminton, gelanggang futsal, gelanggang bola tampar, surau dan juga gimnasium. Segala kemudahan yang telah disediakan sentiasa dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa/i KTSN. 

Berkat kerjasama dan sokongan daripada pihak pentadbiran yang cekap yang diterajui oleh Ayahanda Pengetua tercinta, Barisan Pentadbiran, Majlis Felo, Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKUM), Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) dan semua pihak telah menjadikan kolej ini sebagai sebuah kolej kediaman pelajar yang unggul dan menjadi contoh kepada kolej-kolej lain di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penukaran nama kolej ini kepada Kolej Tun Syed Nasir telah memberi satu wadah baru kepada penghuninya untuk mengharumkan nama kolej dalam bidang akademik, ko-kurikulum, sahsiah diri dan sebagainya bukan sahaja di peringkat UKM malah di persada antarabangsa. Mudah-mudahan segala usaha dan perancangan yang dirancanakan di kolej akan terus mendapat sokongan, keberkatan serta restu daripada-Nya.

 

TUN SYED NASIR BIN SYED ISMAIL (7 Mac 1921 – 16 Mac 1982)

Yang Amat Berbahagia Tun Syed Nasir bin Syed Ismail dilahirkan pada 7 Mac 1921 dan merupakan anak kelahiran Bandar Perenggam, Batu Pahat, Johor. Sejarah pendidikan awal beliau bermula pada 1928-1933 di Sekolah Melayu Bandar Tinggi Batu Pahat, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Pahat dan lulus Peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1938. Pada tahun 1939-1941 beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Selepas tamat pengajian tahun 1941, beliau bertugas sebagai Nazir Sekolah-Sekolah Batu Pahat, seterusnya beliau dilantik sebagai Nazir Sekolah-Sekolah Melayu di Johor, sehingga selepas perang pada tahun 1948 – 1955. Pada tahun 1950, beliau telah dianugerahkan biasiswa British Council Visitorship ke England, dan pada tahun yang sama juga beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Barnes untuk mengkaji sistem pembelajaran Melayu.

Pada tahun 1957 – 1969, YAB Tun Syed Nasir bin Syed Ismail menyandang jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kedua, bagi menggantikan YM Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abd Hamid, Pengarah DBP yang pertama. Semasa berkhidmat, beliau memperkenalkan Minggu Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960 dan lanjutan dari itu, pada tahun 1961 diperkenalkan pula Bulan Bahasa.

YAB Tun Syed Nasir bin Syed Ismail diberikan gelaran Panglima Bahasa ekoran penglibatannya yang gigih dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Maka tidak dinafikan, pada tahun 1975, beliau berusaha memastikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Negara seperti yang diperuntukan Fasal 152 dalam Perlembagaan kini. Berikutan itu, beliau mengatur beberapa ceramah termasuk di Radio dan Television Malaysia (RTM) bagi menjelaskan kedudukan dan nilai Bahasa terhadap sesebuah bangsa dan negara. Antara siri ceramah beliau ialah “Bahasa Kebangsaan: Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Beliau juga terserlah dalam bidang pendidikan. Beliau menjadi ahli Majlis Penasihat Pelajaran Melayu dan Pengasas Pelajaran Dewan Negeri Johor, ahli Jemaah Universiti Malaya Singapura dan Kuala Lumpur, Pengerusi Yayasan Pelajaran Aminuddin Baki dan Pengerusi Jawatankuasa Musabaqah Membaca Al-Quran.

Lanjutan daripada perjuangannya dalam pendidikan itu, beliau bersama cerdik pandai Melayu yang lain berperanan aktif dalam usaha penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada Ogos 1968, beliau dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Penaja UKM dan hasil usaha, dan sokongan pelbagai pihak, UKM dilahirkan pada tahun 1970. Atas kewibawaan beliau, pada 21 Disember 1977, beliau dilantik sebagai Pro-Canselor UKM dan bagi mengenang jasa beliau, UKM telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Persuratan di Majlis Konvokesyen ke-6 UKM pada Julai 1978.

Selain itu, sumbangan beliau juga dapat dilihat kepada perjuangannya menentang Malayan Union dan penubuhan parti orang-orang Melayu UMNO, bahkan beliau pernah dilantik dua kali menjadi Ahli Parlimen Pagoh, sebagai wakil rakyat yang dipilih pada tahun 1969. Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras pada 1971 dan Pengerusi pertama Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Pada tahun 1978, beliau dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan kemudiannya menjadi Speaker Dewan pada tahun 1978 sehinggalah beliau pulang ke rahmatullah pada 16 Mac 1982. Beliau telah meninggalkan seorang balu, Tun Syarifah Aishah dan 10 orang anak. Atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara, jasadnya telah disemadikan di perkarangan Makam Pahlawan. Sepanjang hayatnya, beliau telah dianugerahi beberapa gelaran, antaranya “Datuk” (1957), “Tan Sri” (1971) dan “Tun” (1982).