SeNSE 7.0 2025
Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi (SUKRES), KTSN telah menjayakan Program SYED NASIR SPORTS EVENT 7.0 (SenSE 7.0) pada 19 Januari 2025 bertempat di Kolej Tun Syed Nasir. Program tahunan yang menghimpunkan lebih 300 pelajar ini merupakan platform untuk memupuk semangat kesukanan, memperkukuh hubungan antara pelajar serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kolej.
Bertemakan “Demon Slayer“, SenSE 7.0 merupakan antara program yang menyatukan pelajar daripada pelbagai latar belakang dalam pelbagai aktiviti fizikal dan pertandingan sukan seperti futsal, dodgeball, tarik tali, dan beberapa permainan tradisional lain. Program ini turut memberi penekanan terhadap nilai kerjasama, kepimpinan, dan daya tahan mental pelajar melalui aktiviti berpasukan dan pertandingan berstruktur.
SenSE 7.0 telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril, Pengetua Kolej Tun Syed Nasir dan diserikan dengan kehadiran beberapa wakil daripada pusat sukan UKM serta barisan pentadbiran kolej. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik sekaligus membuktikan komitmen kolej dalam melahirkan mahasiswa yang aktif, seimbang dan berdaya saing selari dengan aspirasi UKM sebagai universiti watan.