TAKLIMAT PENGUNGSIAN BANGUNAN KTSN – KOLABORASI JABATAN BOMBA & KTSN PERKUKUH KESEDARAN KESELAMATAN KEBAKARAN WARGA KOLEJ
Pada 29 Oktober 2025, Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Ahli Organisasi Pengungsian Bangunan, telah menganjurkan program Taklimat Pengungsian Bangunan yang bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan warga kolej dalam menghadapi situasi kecemasan kebakaran. Program ini melibatkan pihak Jabatan Bomba & Penyelamat Titiwangsa, Jabatan Pembangunan Prasarana UKM (PRASARANA-UKM), Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA-UKM) dan Pihak Keselamatan UKM.
Program ini diadakan di Dewan Kolej Tun Syed Nasir dan melibatkan penyertaan seramai lebih 400 warga kolej yang terdiri daripada barisan pentadbiran, majlis eksekutif pelajar serta felo. Taklimat keselamatan disampaikan oleh pegawai bomba yang berpengalaman iaitu Encik Mohd Azrol Bin Mat Zenan merangkap Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1) di Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Kuala Lumpur. Di dalam taklimat tersebut, banyak ilmu yang disampaikan merangkumi aspek pencegahan kebakaran, langkah-langkah menyelamatkan diri, dan penggunaan alat pemadam api.
Melalui program yang bertemakan ‘Keselamatan Teras, Selamatkan Nyawa’, warga kolej dapat meningkatkan pengetahuan serta keyakinan diri dalam bertindak pantas dan berkesan sekiranya berlaku kecemasan dalam situasi sebenar.
Program ini juga turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur (SDG 3) di samping menekankan kepentingan pendidikan yang berkualiti untuk semua orang tanpa mengira jantina, umur, bangsa, dan latar belakang (SDG 4) melalui penglibatan aktif dalam aktiviti fizikal, keamanan dan perpaduan (SDG 16) serta memperkukuhkan kardah pelaksanaan dan menggiatkan semula Perkongsian Global untuk Pembangunan Mampan (SDG 17) melalui kolaborasi yang baik antara KTSN dan Jabatan Bomba & Penyelamat Titiwangsa.